Insiden kepala air di Lata Bayu, tiga remaja cedera pokok tumbang
BALING - Tiga remaja perempuan cedera terkena pokok tumbang dalam kejadian hujan ribut dan kepala air di pusat rekreasi Lata Bayu di sini kira-kira jam 5 petang Ahad.
Seorang mangsa berusia 13 tahun dikatakan mengalami patah di bahagian buku lali kaki kiri manakala dua lagi berusia 15 dan 16 tahun masih belum diketahui tahap kecederaan yang dialami.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, seorang mangsa dihantar ke Hospital Baling dan dua lagi ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk rawatan lanjut.
"Polis menerima maklumat berlakunya hujan lebat dan angin kencang dalam kejadian kepala air di Lata Bayu.
"Kejadian turut menyebabkan pokok tumbang sehingga menghempap sebuah kereta dan motosikal.
"Setakat ini, kita menerima laporan tiga pengunjung cedera terkena dahan pokok tumbang namun tahap kecederaan masih belum dikenal pasti," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Shamsudin, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah mengambil tindakan menutup pusat rekreasi Lata Bayu dan sebuah lagi pusat rekreasi, Lata Hijau yang berada bawah kawalan agensi berkenaan.
"Orang ramai dinasihatkan tidak mengunjungi pusat rekreasi air terjun yang berisiko berlakunya kejadian kepala air.
"Kita juga memohon pengunjung agar mematuhi peraturan yang telah dikeluarkan pihak berkuasa dari masa ke semasa," katanya.
Pada 18 Ogos lalu, fenomena kepala air berlaku di Gunung Jerai, Kedah sehingga menyebabkan enam maut selain menjejaskan lebih 1,000 buah rumah di daerah Yan dan Kuala Muda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!