Polis Melaka buka empat kertas siasatan berkaitan berita palsu

Datuk Abdul Majid Mohd Ali - Foto Bernama
Datuk Abdul Majid Mohd Ali - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Polis membuka empat kertas siasatan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyebaran berita palsu, fitnah dan penghinaan menerusi media sosial sejak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober hingga 6 November.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, ia termasuk kes penularan berita palsu mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan penutupan sempadan negeri selama 15 hari sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang ditularkan menerusi media sosial pada Sabtu.

"Kita telah menyemak dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti pemilik akaun yang sebenar kerana kenyataan yang tular tersebut telah disahkan palsu dengan ia disunting daripada SOP PRN Sabah sebelum ini.

"Polis Melaka turut berkolaboratif dengan Bukit Aman untuk memantau media sosial setiap hari. Memandangkan PRN dilangsungkan secara norma baharu pada kali ini, kita memang menjangkakan media sosial akan digunakan secara meluas untuk parti politik berkempen," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Ayer Keroh di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut Abdul Majid berkata, tiada penutupan sempadan negeri seperti ditularkan malah orang ramai boleh bergerak seperti biasa berikutan Melaka kini berada di Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan tertumpu kepada pencegahan jenayah.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November ekoran pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!