Bajet 2022 jadi bahan kempen PRN Melaka

No Image Caption
A
A
A

RAMAI telah menjangka pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Pastinya yang menarik, bahan perbahasan yang menjadi strategi dan modal politik ketika ini ialah Bajet 2022 yang baru sahaja dibentangkan hujung bulan lalu. Bajet 2022 masih hangat diperbincangkan.

Bagi PN, parti yang menerajui kerajaan ketika ini, mereka sudah tentu akan membentangkan hujah-hujah positif mengenai Bajet 2022 yang berpaksikan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’.

Sementara, perbahasan BN mengenai Bajet 2022, mungkin ada nada yang menyokong dan tidak kurang pula mengkritik bajet yang sama-sama dirangka di bawah kerajaan PN.

Pendirian BN negeri setelah mengisytiharkan bertanding secara solo pada PRN Melaka akan terserlah dalam hujah-hujah mereka mengenai bajet itu nanti, sekali gus menunjukkan pendirian UMNO terhadap Perdana Menteri.

Bagi PH, reaksi sebagai suara pembangkang sudah dijangka. Mereka jelas mempertikaikan kerajaan kerana bimbang kemampuan menunaikan janji.

Topik Bajet 2022 akan menjadi modal utama dalam kempen PRN Melaka, malah sebelum ini pun reaksi positif dan negatif mengenai peruntukan kewangan telah lama disuarakan dalam Parlimen dari masa ke masa.

Pastinya setiap parti akan menjadi pembela kepada rakyat dalam memperjuangkan hak kebajikan mereka khususnya ketika negara masih lagi berperang dengan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya rakyat sudah jemu dengan percaturan ahli politik yang tidak habis-habis bercakaran antara mereka sehingga ada pihak berasakan keperitan rakyat diabaikan ketika berlakunya pandemik.

Keutamaan rakyat ketika ini adalah soal kesinambungan hidup yang menyentuh isu gaji, pekerjaan, kos sara hidup dan kesihatan.

Inilah masanya penduduk Melaka yang mewakili sebahagian rakyat Malaysia akan bersuara dan memberi respons mengenai hal-ehwal semasa serta reaksi mereka terhadap kemelut politik yang dilihat tiada penghujung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!