'Perang' PRN Melaka bermula

Bendera BN dan Bersatu mula dipasang menjelang penamaan calon bagi PRN Melaka hari ini ketika di sekitar Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara. Foto Bernama
Bendera BN dan Bersatu mula dipasang menjelang penamaan calon bagi PRN Melaka hari ini ketika di sekitar Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara. Foto Bernama
A
A
A

TUMPUAN seluruh rakyat Malaysia sudah tentu terarah kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan membuka tirainya dengan proses penamaan calon pada Isnin.

Lebih setahun tiada 'perang' pilihan raya ekoran pandemik Covid-19 selepas PRN Sabah pada September tahun lalu, kini parti-parti yang bertanding sudah sedia mempamerkan belang di PRN Melaka untuk membuktikan mereka masih relevan dan menjadi pilihan rakyat.

Malah, lebih menarik adalah keberanian kesemua parti iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan ramai calon muda sebagai tarikan dan taktikal baharu untuk mencuri hati pengundi.

Namun, seperkara yang sangat penting adalah harapan bahawa PRN Melaka kali ini tidak membawa 'bencana' gelombang Covid-19 baharu seperti yang berlaku ketika PRN Sabah lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mengeluarkan amaran kepada semua parti agar sebarang aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang tempoh penamaan calon.

Hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon sekali gus menyaksikan kelainan berbanding pilihan raya sebelum ini.

Apa yang dilakukan oleh SPR itu adalah satu langkah terbaik mengambil kira pengalaman di PRN Sabah yang menyaksikan ramai penyokong parti politik hadir dan menjadi antara faktor tercetusnya gelombang besar Covid-19 di negara ini.

Sebelum ini juga, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengeluarkan arahan perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, SPR masih belum mengumumkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Melaka dengan semua petugas di pusat penamaan calon menggunapakai SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Walaupun PRN Melaka kali ini diadakan dengan SOP yang ketat, namun, kesemua parti bertanding sudah mempunyai cara tersendiri untuk mendekati pengundi.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan jentera BN Melaka telah digerakkan sejak dua minggu lalu dan turut dibantu jentera dari negeri-negeri angkat.

Pendekatan jentera BN lebih kepada sasaran mikro yang menyasarkan setiap individu pengundi yang telah dikenal pasti berasaskan senarai pemilih yang terbaharu.

Selain itu BN juga akan menggunakan media sosial yang akan menjadi medium utama untuk mendekati setiap pengundi setelah mengambil kira SOP yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, PN melalui Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan jentera PN sudah digerakan sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan.

Ia termasuklah jentera penerangan yang di susun di setiap DUN di Melaka selain rumah penerangan untuk proses kempen yang sudah berfungsi dan berusaha agar mesej kempen itu sampai kepada pengundi.

Manakala, PH pula menggerakkan jentera mereka secara fizikal berdasarkan SOP dan secara maya dalam menemui pengundi.

Namun, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil menegaskan usaha keras perlu dilakukan kerana kempen kali ini tidak seperti dahulu.

Turut menyumbang kesukaran untuk berkempen adalah kerana banyak kawasan yang terlibat tiada akses internet dan telekomunikasi yang kurang memuaskan sekali gus memerlukan mereka lebih kreatif ketika berkempen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!