Villa pecat Dean Smith
ASTON Villa, memecat Dean Smith sebagai pengendalinya selepas merekodkan lima kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Perkara tersebut disahkan oleh Aston Villa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab tersebut malam tadi.
“Aston Villa FC dengan ini mengesahkan bahawa kelab telah berpisah dengan ketua jurulatih, Dean Smith.
"Selepas permulaan baik musim lalu, tahun ini kami tidak lihat peningkatan dalam keputusan, persembahan dan kedudukan liga seperti yang diharapkan.
"Atas sebab itu kami memutuskan untuk melakukan perubahan bagi memberikan tempoh mencukupi buat ketua jurulatih baharu membawa impak kepada Villa,"kata Ketua Pegawai Eksekutif Aston Villa, Christian Purslow.
Untuk rekod, Smith, 50, membimbing Villa sejak Oktober 2018 dan memenangi play-off pada musim pertamanya untuk naik ke Liga Perdana Inggeris.
Pada kempen berikutnya dia berjaya membawa Villa ke final Piala Liga, sebelum tewas di tangan Manchester City.
Dalam pada itu Purslow menzahirkan penghargaan beliau ke atas Dean Smith yang membantu Villa bangkit di Liga Kejuaraan ketika mereka dalam prestasi sukar dahulu.
“Lembaga Pengarah ingin mengucapkan terima kasih kepada Dean atas pencapaian cemerlangnya, di dalam dan di luar padang, pada masa ini. Semua orang tahu betapa pentingnya Dean kepada Aston Villa.
"Dia telah membawa kelab dengan cemerlang dan disukai serta dihormati oleh semua pihak termasuklah kakitangan, pemain dan penyokong kami. Kami mendoakan yang terbaik untuknya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!