Penyerang masjid Christchurch timbang buat rayuan

Brenton Tarrant.- Foto EPA
Brenton Tarrant.- Foto EPA
A
A
A

WELLINGTON - Seorang lelaki Australia, Brenton Tarrant yang mengaku menyerang masjid di Christchurch pada tahun 2019 sedang mempertimbangkan untuk membuat rayuan berhubung hukuman penjara seumur hayat yang dijatuhkan oleh sebuah mahkamah di New Zealand, kata peguam belanya pada Isnin.

Tarrant, 31, mengaku bersalah terhadap 51 tuduhan membunuh, 40 dakwaan cuba membunuh dan satu kes keganasan pada tahun lalu.

Justeru, lelaki berkulit putih itu menerima hukuman penjara sepanjang hayat tanpa diberikan parol iaitu yang pertama kali dijatuhkan di New Zealand.

Peguam bela Tarrant, Tony Ellis dilaporkan telah menasihatkan lelaki itu untuk membuat rayuan yang merupakan haknya.

Ellis berkata, warga Australia itu telah dihukum penjara lebih 25 tahun dan hukuman tersebut mencabuli Akta Hak-Hak Asasi Manusia New Zealand.

Pada tahun 2019, Tarrant yang bersenjatakan senjata api semi automatik melepaskan beberapa das tembakan kepada para jemaah di Masjid Al Noor, Christchurch pada waktu solat Jumaat.

Dia kemudian pergi ke sebuah pusat solat di Linwood, Christchurch dan menyiarkan kejadian pembunuhan yang dilakukannya dengan menggunakan senjata api menerusi kaedah penstriman secara langsung.

Semua mangsa-mangsanya adalah wanita, kanak-kanak, warga emas dan orang dewasa yang beragama Islam.

Artikel Berkaitan:

New Zealand tidak mempunyai hukuman mati dan ketika menjatuhkan hukuman pada Ogos tahun lalu, Hakim Cameron Mander berkata, beliau memberikan hukuman yang paling keras terhadap Tarrant kerana dia melakukan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!