Bukit Juru sebagai destinasi eko-pelancongan

No Image Caption
A
A
A

JURU- Bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan kawasan Bukit Juru sebagai lokasi eko-pelancongan di negeri ini, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk menilai potensi dan tarikan yang terdapat di sini.

Jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh pejabat ADUN Bukit Tengah itu akan dibarisi oleh beberapa badan profesional seperti ThinkCity, Autocity serta badan bukan kerajaan (NGO) Penang Water Watch yang diketuai oleh Prof Dr Chan Ngai Weng dari Universiti Sains Malaysia dan Pensyarah Kanan School of Hospitality, Tourism and Culinary Arts, Dr Irhanida Abdul Kadir dari KDU Penang.

ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata, penubuhan jawatankuasa ini adalah lanjutan komitmen untuk melihat Bukit Juru dan sekitarnya dibangunkan sebagai satu destinasi eko-pelancongan yang mampu menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, beliau telah memulakan usaha ini sejak tahun lalu dengan mengemukakan cadangan terperinci kepada Exco Pelancongan, Yeoh Soon Hin bagi memasukkan Bukit Juru dan kawasan sekitarnya ke dalam pelan induk Pulau Pinang untuk pelancongan.

"Penubuhan jawatankuasa eko-pelancongan ini adalah fasa seterusnya untuk merealisasikan matlamat kami.

"Jawatankuasa yang ditubuhkan ini yang melibatkan pihak berkepentingan berkongsi pandangan yang sama seperti saya, di mana kami melihat potensi yang besar untuk Bukit Juru dimajukan sebagai destinasi eko-pelancongan," katanya ketika ditemui media di sini.

Hsiao Leung berkata, turut serta dalam jawatankuasa itu beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Bahagian Warisan dan Pelancongan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Tambahnya, kesemua ahli jawatankuasa mempunyai bidang kepakaran masing-masing dan diharapkan dengan kerjasama semua pihak akan dapat menghasilkan idea yang segar untuk membangunkan aset semula jadi di kawasan ini.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan dan ia akan menjadi satu cabaran bagi jawatankuasa kami kerana kawasan ini masih belum dikenali orang ramai.

"Pelbagai penambahbaikan perlu dilakukan selain menaik taraf kemudahan asas bagi keselesaan orang ramai yang akan berkunjung di sini," katanya.

Beliau berkata, untuk peringkat awal pihaknya sedang merencanakan program eksplorasi Sungai Juru yang menjanjikan panorama alam semula jadi menarik kepada pengunjung pada April depan.

Program bertujuan memperkenalkan keindahan Sungai Juru kepada orang ramai itu juga akan membuka mata tentang kepentingan menjaga dan memulihara sungai kita daripada tercemar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!