Sindiket 'Ibu Ani' seludup PATI tumpas

Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim
Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor menumpaskan satu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dikenali sebagai‘Ibu Ani’, yang dipercayai telah beroperasi di sekitar Lembah Klang sejak tiga tahun lalu.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, sindiket Ibu Ani, bertanggungjawab menguruskan tempat penginapan, makan dan minum serta kenderaan, bagi pergerakan PATI keluar dan masuk Malaysia melalui jalan tidak sah.

“Sindiket tersebut tumpas susulan maklumat yang diperoleh dari 25 orang PATI, enam orang ejen laut dan darat, yang ditahan di bersama bot penyeludup oleh Maritim bersama agensi penguatkuasa lain dalam Ops Benteng, di perairan Pulau Angsa dan persisiran Pantai Sungai Janggut, Jumaat lalu.

“Rentetan daripada penahanan tersebut, beberapa serbuan dibuat di beberapa lokasi dan premis di Flat Kuchai Lama, Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan seorang wanita yang dikenali Ibu Ani, 56, berasal dari Indonesia,” katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Mohammad Rosli berkata, turut dirampas semasa serbuan adalah sebuah bot, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), dua van dan beberapa telefon bimbit yang kesemuanya dianggarkan bernilai hampir RM450,000.

“Kesemua suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan juga Akta Imigresen 1969/63,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Rosli berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dengan memberi tumpuan terhadap tekong atau ejen-ejen terlibat dan dipercayai dalang sebenar, iaitu seorang warga asing masih belum ditangkap.

Beliau berkata, sindiket-sindiket PATI kini bersaing sesama sendiri dan menawarkan ‘pakej lengkap’ bernilai antara RM1,500 hingga RM2,000, serta testimoni keberkesanan aktiviti mereka turut diedarkan di WhatsApp.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Rosli turut mengingatkan pemilik kenderaan sewa tempatan agar berwaspada kepada siapa mereka sewakan dan jika didapati PATI bersubahat, maka kenderaan tersebut akan disita dan pemiliknya dikenakan tindakan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!