PATI 'terkandas' ditahan Maritim
PELABUHAN KLANG - Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dalam perjalanan menuju ke Pulau Ketam 'terkandas' selepas dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) kira-kira 0.1 batu nautika selatan pulau itu, semalam.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, seramai 10 lelaki warga Indonesia berusia 21 hingga 35 tahun itu telah ditahan kira-kira jam 12.35 tengah hari.
Menurutnya, penahanan itu dibuat ketika bot ronda sedang melakukan rutin di sekitar kawasan perairan berkenaan.
"Ketika rondaan, anggota ronda melihat sebuah feri penumpang dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahan feri berkenaan.
"Dipercayai dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Pulau Ketam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, hasil pemeriksaan kemudian mendapati seramai 10 penumpang warga asing melakukan kesalahan imigresen iaitu tujuh daripada mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tiga lagi didapati dokumen tamat tempoh.
Beliau berkata, semua PATI itu telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!