Singapura tangguh hukuman mati rakyat Malaysia

Mahkamah Tinggi Singapura membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman gantung terhadap Nagaentran. - Foto 123RF
Mahkamah Tinggi Singapura membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman gantung terhadap Nagaentran. - Foto 123RF
A
A
A

SINGAPURA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi Singapura pada Isnin membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap seorang warga Malaysia yang sepatutnya menjalani hukuman gantung pada Rabu (10 November) atas sabitan mengedar dadah.

Keputusan itu dimuatnaik di Facebook oleh M. Ravi, peguam kepada lelaki yang dihukum mati iaitu Nagaentran K Dharmalingam, 33.

“Mahkamah Tinggi baru sahaja memerintahkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu perbicaraan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Prosiding bagi permohonan mencabar pelaksanaan penghakiman didengar melalui aplikasi zoom pada Isnin, dua hari sebelum tarikh pelaksanaan hukuman gantung pada 10 November.

Nagaentran ditahan pada 2009 kerana membawa masuk 42.7 gram (1.5 aun) heroin ke Singapura.

Menurut Ravi, peguam daripada K K Cheng Law Llc, mahkamah melaksanakan sesi perbicaraan yang adil diketuai oleh Hakim See Kee Oon.

Perbicaraan bermula pada jam 2.30 petang manakala keputusan penghakiman disampaikan pada jam 4 petang.

Pada Ahad, 7 November, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan telah mengutus surat kepada rakan sejawatannya di Singapura Lee Hsien Loong memohon supaya hukuman dalam kes itu diringankan.

Artikel Berkaitan:

Laporan itu menyebut Ismail Sabri telah meminta kerajaan Singapura untuk pertimbangkan kemungkinan menangguh hukuman mati untuk membolehkan permohonan baharu bagi pengampunan Presiden dikemukakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes hukuman mati: Ismail Sabri mohon Singapura ringankan hukuman

Kes hukuman mati Nagaenthran, Malaysia mohon budi bicara Singapura

Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya seorang kurang upaya dari segi intelek. Dia dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 22 November 2010.

Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat sehingga ke peringkat akhir, dan permohonannya untuk pengampunan Presiden ditolak pada 1 Jun 2020.

Sementara itu, peguam Nagaenthran di Malaysia, N Surendran berkata, mahkamah telah menetapkan esok, 9 November jam 2.30 petang untuk mendengar rayuan.

Menurut Surendran yang juga penasihat bagi Lawyers for Liberty, satu lagi permohonan difailkan oleh pihak peguam Nagaenthran meminta pernilaian psikiatri terhadap kesihatan mentalnya yang didakwa telah merosot juga ditetapkan pada waktu yang sama esok.

“Jika kedua-dua perkara itu ditolak, maka penangguhan pelaksanaan hukuman itu tidak lagi berguna,” kata beliau dalam kenyataan yang dihantar ke Bernama malam ini.

Surendran bagi pihak Lawyers for Liberty menggesa supaya para peguam Nagaenthran diberi tempoh masa yang mencukupi dan munasabah untuk membuat persiapan bagi kes itu yang membabitkan isu-isu kompleks dan riwayat seorang manusia yang kurang upaya dari segi mental.

“Dan sementara itu penangguhan pelaksanaan hukuman yang dikeluarkan pada Isnin perlu dikekalkan sehingga perbicaraan-perbicaraan ini selesai dijalankan dengan sempurna dan adil,” tambah beliau. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!