Kerajaan bangun pelan tindakan tangani fahaman pelampau keganasan
KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang membangunkan Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (NAPPCVE) bagi mengekang pengembangan fahaman keganasan secara domestik sebelum ia merebak menjadi ancaman keganasan dalam negara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, ini kerana ancaman keganasan tidak hanya datang dari elemen di luar negara semata-mata dan masih wujud kemungkinan rakyat Malaysia didoktrinasikan dengan fahaman pelampau keganasan melalui sumber dalam talian.
“Pelan ini dalam proses kajian dan akan dilancarkan selewat-lewatnya pada tahun hadapan. Diharapkan, melalui pelan tindakan kebangsaan ini, usaha mencegah fahaman pelampau keganasan daripada meresapi minda rakyat Malaysia dapat dilakukan bermula di akar umbi.
Pelan ini akan menjadikan usaha pencegahan fahaman pelampau keganasan dilaksanakan secara sistematik dan berstruktur di kalangan semua agensi kerajaan dengan penglibatan komuniti,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab usul Kamar Khas oleh Chan Foong Hin (DAP-Kota Kinabalu) yang membangkitkan persoalan antara lain sama ada kerajaan tahu mengenai laporan bahawa pengganas Indonesia merekrut mereka tanpa kewarganegaraan di Sabah.
Beliau juga ingin mengetahui usaha kerajaan dalam mengelakkan kegiatan militan atau pengganas dalam negara dan memastikan keselamatan penduduk di Sabah daripada serangan pengganas.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, kerajaan sedar Sabah berisiko dan digunakan sebagai tempat mereka bersembunyi atau pusat transit memandangkan kedudukannya yang strategik serta faktor lain seperti kewujudan pertalian keluarga, sempadan maritim yang luas dan pergerakan di kawasan laut.
Menurutnya sejak 2017, seramai 38 anggota Kumpulan Abu Sayyaf yang cuba menjadikan Sabah sebagai tempat bersembunyi ditahan, manakala aktiviti kumpulan pengganas Indonesia yang menjadikan Sabah tempat transit sebelum ke Filipina berjaya dikesan sejak 2019 dengan terbongkarnya rangkaian suspek pengeboman gereja di Jolo, Filipina.
Bagi jenayah penculikan untuk tebusan pula, katanya, dari 2016 hingga kini, sebanyak 16 kes penculikan berlaku di Perairan Timur Sabah dengan kes terakhir dilaporkan pada 18 Januari tahun lepas di perairan di antara Pulau Tambisan dan Kuala Meruap, Lahad Datu.
“Justeru bagi mengelak kegiatan militan sama ada di Sabah atau Malaysia secara umumnya...pihak polis dengan kerjasama lain-lain agensi penguatkuasaan sentiasa dalam keadaan bersedia meningkatkan pemantauan, operasi serta langkah keselamatan bagi menghalang kemasukan elemen pengganas,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!