PRN Melaka: Bersih 2.0, tiga organisasi media sedia platform khas untuk calon
SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dengan kerjasama tiga buah organisasi media iaitu Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily akan menyediakan platform khas iaitu Suara Untuk Semua kepada setiap calon yang bertanding.
Menurut kenyataan bersama, ia susulan ketetapan norma baharu yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 Melaka, apabila sekatan secara menyeluruh dikenakan, termasuk larangan perhimpunan awam dan kempen dari rumah ke rumah serta secara terbuka.
Menurut kenyataan tersebut, di bawah inisiatif ini, kesemua 112 calon yang bertanding, tidak kira parti dan ideologi politik boleh menyediakan klip video tentang diri mereka dan polisi masing-masing untuk dihebahkan menerusi Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily dan berpeluang ditemu bual oleh organisasi media ini.
“Inisiatif Suara Untuk Semua terdiri daripada tiga komponen iaitu Suara Calon (khusus bagi setiap calon yang bertanding), Siaran Politik Parti (untuk semua parti dan calon-calon bebas menyuarakan manifesto dan polisi masing-masing) dan dialog antara calon-calon Ketua Menteri Melaka.
“Ketika para calon dan jentera pilihan raya masing-masing berhadapan dengan kekangan luar biasa di bawah normal baharu kempen pilihan raya, kami yakin bahawa inisiatif ini akan memberi ruang dan peluang kepada setiap calon untuk menyebar luas mesej kempen mereka kepada para pengundi,” jelas kenyataan itu pada Isnin.
Menurut kenyataan tersebut, dengan usaha ini ia dapat membantu menyuburkan semangat demokrasi pilihan raya, iaitu setiap calon wajar mempunyai platform yang dinamik untuk mendampingi pengundi-pengundi mereka.
Hal yang demikian kata kenyataan tersebut, pengundi harus diberikan sebanyak maklumat yang boleh untuk mereka membuat pilihan yang tepat dan memilih wakil rakyat mengikut pilihan mereka.
“Justeru, bagi menjayakan inisiatif ini, Bersih 2.0 juga akan menyediakan satu halaman mikro khusus di laman web www.bersih.org, yang akan membawa pautan kepada video calon-calon yang akan dimuat naik ke YouTube.
“Kami menjemput kesemua calon yang bertanding supaya hantar rakaman video mereka kepada kami melalui Telegram (t.me/bersih2_0) atau e-mel (media@bersih.org),” ujarnya.
Jelasnya, rakan-rakan projek seperti Astro Awani, Sinar Harian dan SinChew akan menggunakan bahan tersebut untuk tujuan siaran dan hebahan.
Selain itu, rakan organisasi media juga akan menemu bual semua calon yang bertanding dalam liputan biasa kawasan hangat untuk memastikan akses media yang luas dan menyeluruh.
“Sekretariat Bersih 2.0 selain menghantar jemputan media kepada calon-calon, juga akan cuba menghubungi semua calon untuk menghantar rakaman video mereka.
“Butiran lanjut mengenai inisiatif ini akan dikeluarkan dalam waktu terdekat,” katanya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!