Pegawai SPR pakai PPE umum calon DUN Pantai Kundor
MELAKA - Biarpun terpaksa memakai pakaian perlindungan diri (PPE), namun ia tidak menghalang Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor menyempurnakan tugasnya dengan baik pada Isnin.
Norzizi Yati Jimat yang bertugas sebagai Penolong Setiausaha Jabatan Ketua Menteri terpaksa bertugas di pusat penamaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Gelam Tanjung Kling di sini dengan memakai PPE kerana menjadi kontak rapat kepada seorang yang disahkan positif Covid-19.
Hanya berada di dalam van bergerak SPR, Norzizi Yati menandatangani segala dokumen penting daripada tiga calon iaitu Datuk Nor Azman Hassan (Pakatan Harapan), Tuminah Kadi (Barisan Nasional) dan Mohd Rizwan Mustafa (Perikatan Nasional).
Selain itu, beliau turut membuat pengumuman ketika proses penamaan calon termasuk masa ketiga-tiga calon menghantar borang tersebut.
Difahamkan, Norzizi Yati terpaksa dikuarantin dalam van tersebut kerana pegawai pengurus yang bertugas pada Isnin, Zukhairi Arun sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah selepas seorang individu yang hadir di dewan sekolah tersebut pada Ahad disahkan positif Covid-19.
Ini menyebabkan tugas menerima borang pencalonan dan mendaftarkan tiga calon bagi kerusi DUN Pantai Kundor terpaksa diambil alih sepasukan pegawai SPR sebelum diserahkan kepada Norzizi Yati untuk ditandatangani.
Sementara itu, Nor Azman yang juga penyandang kerusi DUN Pantai Kundor berterima kasih kepada SPR yang sentiasa memastikan proses penamaan calon bermula jam 9 pagi itu berjalan lancar.
"Saya sebenarnya tak tahu pegawai pengurus SPR terpaksa berada di dalam van bergerak kerana perlu menjalani kuarantin, tapi Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar," katanya.
Bagi Tuminah pula, ini merupakan satu pengalaman apabila terpaksa menyerahkan borang penamaan calon kepada pegawai pengurus yang sedang dikuarantin.
"Bagi saya, pegawai dan kakitangan SPR telah melaksanakan tugas dengan sempurna dan baik sekali," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!