Remaja 'hero' selamatkan warga emas
SABAK BERNAM - Seorang remaja layak diangkat sebagai hero apabila menyelamatkan seorang warga emas daripada rentung selepas kediamannya di Jalan Parit 1 Barat, di sini, terbakar, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, Muhammad Fahmi Zul Hakim Maulop, 19, terpaksa berlari sejauh 100 meter menuju kediaman Sezali Mat Rashad, 86, yang musnah dalam kejadian itu.
Muhammad Fahmi berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang berehat di rumah neneknya, Nispol Laili Jamari, 62, sementara bersiap menunaikan solat Jumaat.
"Saya dengar suara nenek berteriak menyatakan rumah pak cik Sezali dah terbakar dan kedengaran bunyi seperti mercun yang tak berhenti meletup," katanya.
Katanya, tanpa berlengah, dia bersama datuknya, Mat Miswan Ngadiman, 53, dan bapa saudaranya, Muhammad Syamir Kalila Amin, 26, terus berlari menuju ke rumah terbabit.
Muhammad Fahmi yang tiba dahulu di rumah itu berkata, dia kemudiannya terus menyelamatkan Sezali yang berada di beranda luar rumah.
"Pak cik Sezali mulanya nak buka pintu dan masuk ke dalam rumah sebab teringatkan cucunya, tetapi saya terus mendapatkannya lalu mendukungnya keluar," katanya.
Katanya, sewaktu kejadian, tiada sesiapa di rumah itu melainkan Sezali, manakala anak bongsunya, Zarina, 38 dan suami, Syahrul Rasid Mohd Dahlan, 38, bersama lima anak berusia empat bulan hingga 12 tahun tiada di rumah.
Katanya, dia bersyukur apabila Sezali dapat diselamatkan dalam kejadian itu meskipun kediaman terbabit musnah sepenuhnya.
Sementara itu, Sezali berkata, dia hanya memikirkan keselamatan cucunya yang dianggap 'masih' berada dalam rumah itu.
"Ketika berehat di beranda, saya terlihat api menjulang tinggi dari arah dapur.
"Saya ingatkan cucu ada dalam rumah dan cuba buka pintu hadapan sebelum jiran (Muhammad Fahmi) mendukung saya keluar dari situ.
"Ketika itu, barulah saya teringat cucu saya bersama ibu bapanya tiada di dalam rumah," katanya.
Sezali berkata, dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM80,000 berikutan rumah itu termasuk dokumen peribadi musnah sepenuhnya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Maybank 162647029662 atas nama Syahrul Rasid Mohd Dahlan atau menghubunginya di talian 01128155466.
Seluruh rumah mangsa musnah
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Khuzaimey Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.25 petang.
"Seramai 10 anggota dan pegawai dengan sebuah jentera FRT dikejarkan ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman kebakaran," katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman itu turut mendapat bantuan daripada anggota dan sebuah jentera FRT dari BBP Sabak Bernam.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, rumah seluas kira-kira 231 meter persegi itu sedang marak dimamah api.
"Pasukan bomba mengambil masa kira-kira dua jam mengawal kebakaran sebelum api dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.12 petang," katanya.
Katanya, hampir keseluruhan rumah mangsa musnah dalam kejadian itu.
"Punca dan jumlah kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!