Hotel di Negeri Sembilan kekurangan pekerja
SEREMBAN - Semua hotel di Negeri Sembilan kini mengalami masalah kekurangan pekerja sehingga menyebabkan ada pengurus hotel yang terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan bilik.
Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, masalah itu berlaku akibat ramai pekerja yang sebelum ini terpaksa diberhentikan dan beralih kepada bidang lain susulan industri perhotelan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
"Bila pekerja tak cukup, itu yang menyebabkan berlaku masalah pelanggan lambat dapat bilik walaupun telah mendaftar masuk seperti mana kes yang berlaku di beberapa negeri baru-baru ini.
"Namun saya difahamkan situasi di Negeri Sembilan terkawal dan masih belum ada laporan sebegitu," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, dalam tempoh empat minggu selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan, semua tempahan hotel di Port Dickson penuh terutama pada setiap hujung minggu.
Beliau berkata, keadaan itu dijangka berterusan sehingga hujung tahun ini lebih-lebih lagi 'mood' orang ramai yang mahu bercuti selepas lebih setahun tidak dibenarkan merentas negeri.
"Tambahan pula Port Dickson berhampiran dengan Lembah Klang. Jadi ramai pelancong dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Johor yang datang.
"Ia sememangnya satu perkembangan yang sangat positif selepas industri hotel terjejas teruk, cuma sekarang kita alami kekurangan pekerja," katanya.
Jelas beliau, lebih menyukarkan apabila pihak hotel juga berdepan masalah untuk mendapatkan pekerja sambilan.
Katanya, meskipun bayaran upah dinaikkan daripada RM6 kepada RM9 sejam, namun ia tetap tidak mendapat sambutan.
"Kita nak dapatkan pekerja asing pun susah kerana yang dibenarkan hanya untuk sektor perladangan dan pembinaan.
"Sebagai penyelesaian, MAH Negeri Sembilan sedang dalam proses untuk mengambil pelajar dalam bidang perhotelan dari Medan, Indonesia untuk menjalani praktikal di hotel kita dalam tempoh enam bulan," katanya.
Tambah Haziz, pihaknya juga bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyediakan ruang untuk pelajar bidang perhotelan menjalani latihan praktikal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!