Ekonomi dijangka pulih apabila rentas sempadan dibenarkan sepenuhnya

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

KEADAAN ekonomi negara dijangka pulih apabila aktiviti rentas sempadan dibenarkan secara sepenuhnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya, ini berikutan pembukaan sempadan tersebut berupaya merancakkan semula sektor pelancongan dan pelaburan yang terjejas sejak Covid-19 melanda negara.

“Malaysia banyak bergantung kepada (faktor) luar seperti pelancong luar, eksport serta pelaburan. Oleh itu, bagi membolehkan keadaan pulih semula adalah apabila rentas sempadan dibenarkan,” katanya dalam wawancara ‘Cabaran Ekonomi Semasa’ yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Garasi TV, pada malam Isnin.

Setakat kini, pelancong antarabangsa hanya dibenarkan melancong ke Pulau Langkawi menerusi projek rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa.

Mustapa berkata sektor pelancongan mengalami kejatuhan ketara apabila Malaysia terpaksa bertindak menutup pintu sempadan bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

“Pada 2019, Malaysia menerima kemasukan 26 juta pelancong luar negara namun tahun ini (angka itu) hanya beberapa ratus ribu sahaja,” katanya sambil menyifatkan sektor penerbangan dan perhotelan dijangka pulih sepenuhnya pada 2024.

Selain itu, beliau berkata terdapat petunjuk jelas pemulihan ekonomi negara sejak kebelakangan ini dengan eksport mencatat pertumbuhan yang positif.

Menurutnya, ini berdasarkan angka daripada Jabatan Perangkaan yang menunjukkan prestasi dagangan Malaysia bagi September 2021 meningkat sebanyak 25.5 peratus kepada RM195.5 bilion susulan pertumbuhan dua angka eksport dan import yang kukuh.

Artikel Berkaitan:

Eksport telah meningkat ke paras tertinggi kepada RM110.8 bilion iaitu pertumbuhan sebanyak 24.7 peratus berbanding tahun sebelumnya disokong oleh eksport domestik dan eksport semula, kata beliau. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!