Dua pemandu bas pekerja positif dadah ditahan
JOHOR BAHRU - Dua pemandu bas pekerja ditahan selepas dikesan positif dadah dalam Op Khas Bersepadu yang dijalankan di Taman Impian Emas, Skudai di sini pada Selasa.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 34 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.
Katanya, operasi membabitkan pemandu dan pengusaha bas kilang dibuat susulan aduan awam yang mendakwa pemanduan terbabit mengabaikan aspek keselamatan dan mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.
"Ada pemandu terpalit dengan isu penyalahgunaan dadah dan memandu dalam pengaruh alkohol (mabuk) serta isu buli jalan raya.
"Pada 21 Oktober lalu, pihak polis ada menerima aduan sebuah bas pekerja memandu secara melulu dan bahaya oleh orang awam di kawasan Perindustrian Tebrau.
"Bertindak atas aduan tersebut, anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melakukan pemeriksaan terhadap pemandu berkenaan yang didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Op Bersepadu Khas Bas Pekerja di Taman Impian Emas, Skudai di sini pada Selasa.
Menurut Ayob Khan, hasil daripada operasi yang dijalankan pada Selasa, sebanyak 42 saman dikeluarkan membabitkan pemandu tidak memiliki lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) dan Lesen Vokasional Kenderaan (PSV).
Selain itu, katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengeluarkan 26 saman, enam notis dan empat kompaun atas kesalahan berkaitan asap dan bunyi kenderaan.
"Sikap pengusaha yang menggajikan pemandu tiada lesen untuk memandu dan ada antaranya warga asing dilihat cukup membimbangkan.
"Mereka ini membawa penumpang melebihi kapasiti had permit bagi mengurangkan kos dan mementingkan keuntungan dengan menyewa permit dan bas kilang kepada pihak ketiga.
"Pada tahun lepas sahaja direkodkan sebanyak 144 kes kemalangan membabitkan bas pekerja berlaku di Johor," katanya.
Tambah Ayob Khan, pihaknya kerap menerima aduan awam berhubung pemandu bas pekerja membabitkan kesalahan melanggar isyarat lalu lintas, termasuk menggunakan telefon bimbit semasa memandu, melanggar isyarat lampu dan potong barisan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!