Indeks pengeluaran perindustrian kembali pulih

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 2.5 peratus pada September 2021 berbanding bulan sama pada tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengembangan itu disumbangkan oleh kenaikan 4.0 peratus dalam indeks pembuatan dan 0.4 peratus dalam indeks elektrik manakala indeks perlombongan mencatatkan penyusutan 3.0 peratus.

“Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 3.7 peratus didorong oleh sektor pembuatan dan elektrik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, IPP bagi suku tahun ketiga 2021 susut 1.1 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dan penguncupan tersebut disebabkan oleh kejatuhan dalam indeks elektrik, indeks perlombongan dan indeks pembuatan yang masing-masing mencatatkan 3.1 peratus, 2.2 peratus dan 0.7 peratus.

Mohd Uzir berkata, IPP bagi tempoh Januari hingga September 2021 merekodkan pengembangan 7.6 peratus berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan tersebut dipengaruhi oleh kenaikan dalam kesemua komponen -- indeks pembuatan pada 9.6 peratus, indeks perlombongan 2.3 peratus dan indeks elektrik 1.6 peratus,” katanya.

Beliau berkata, bagi output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 4.0 peratus pada September 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 0.6 peratus pada Ogos 2021.

Menurutnya, subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan bagi September 2021 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (12.3 peratus); produk petroleum, kimia, getah dan plastik (6.1 peratus) dan makanan, minuman dan tembakau (2.1 peratus).

Artikel Berkaitan:

“Industri berorientasikan eksport tumbuh 6.7 peratus manakala industri berorientasikan domestik susut sebanyak 1.9 peratus,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!