KSM teliti keperluan gubal undang-undang mengenai pekerja gig
KUALA LUMPUR -- Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan meneliti keperluan untuk menggubal satu undang-undang khusus bagi mengawal selia dan melindungi kebajikan pekerja gig memandangkan golongan itu tidak berada di bawah kawalan Akta Kerja 1955.
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, setakat ini pekerja gig hanya mendapat perlindungan sosial di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"KSM telah mengikuti isu mengenai kawal selia perundangan pekerja gig di negara ini sama ada yang ditimbulkan menerusi media massa ataupun ketika sesi soal jawab Parlimen. Ini termasuklah perkembangan terkini di United Kingdom mengenai keputusan Mahkamah Agung di negara tersebut mengenai status pekerja gig.
"KSM juga akan memperhalusi keputusan mahkamah di United Kingdom yang menyatakan bahawa pekerja gig layak mendapat hak-hak pekerja dan sama ada ia boleh dipakai dan disesuaikan untuk mengawal selia pekerja gig di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Selain itu, Saravanan berkata, KSM akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dalam masa terdekat dan akan mengemukakan maklum balas berhubung perkara itu kepada Jemaah Menteri.
Pekerja ekonomi gig merupakan individu yang bekerja sendiri dan bebas serta tertumpu kepada skop kerja dan tempoh masa yang ditetapkan dengan bayaran dipersetujui.
Sistem bekerja dan ciri-ciri gig memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja menjalankan kontrak yang lebih terbuka dan bekerja secara fleksibel tanpa terikat kepada bekerja sepenuh masa dan persekitaran pejabat.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!