Parti 'ultra' Melayu hanya retorik politik
JOHOR BAHRU - Pertembungan kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) adalah bukti jelas menunjukkan kedua-dua parti itu dahagakan kuasa berbanding kestabilan negara masa kini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, perkara itu juga secara tidak langsung menunjukkan bahawa perjuangan parti 'ultra' Melayu yang sering digembar-gemburkan hanyalah retorik politik semata-mata.
"Mereka (BN dan PN) sering melaungkan perjuangan Melayu, dan itu yang menjadi motif mereka ketika mengambil pentadbiran daripada PH sebelum ini, tetapi kini dalam kesemua DUN PRN Melaka, mereka bertelagah dalam semua kerusi yang sama.
"Mana pergi perjuangan rakyat yang mereka laungkan, di sini kita boleh lihat kedua-dua mereka hanya mahukan pengukuhan kuasa dan apa mereka desak sebelum ini adalah hanya sekadar retorik politik," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat DUN Stulang di sini pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan kesemua 28 DUN Melaka akan menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru pada PRN yang menyaksikan BN, PH dan PN masing-masing merebut keseluruhan kerusi.
Sementara itu, terdapat juga beberapa kawasan DUN yang akan ditandingi oleh parti lain melibatkan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dengan lima kerusi, Parti India Muslim Bersatu Malaysia (Iman) satu kerusi dan dan calon bebas 22 kerusi.
Aminolhuda berkata, PH Johor juga berpendapat apa yang berlaku di antara BN dan PN adalah perkara yang tidak baik kepada kerajaan memerintah memandangkan persefahaman antara mereka boleh menjejaskan keputusan dalam menjaga kebajikan rakyat.
"Jika mereka boleh bersaing sesama sendiri bagaimana pula dengan keputusan, macam di PH walaupun ada kalanya kita tidak sependapat tetapi moral kami sama iaitu penyatuan dan apa keputusan dibuat parti kita laksanakan bersama," katanya.
Beliau berkata, melihat situasi pengundian pada PRN Melaka, pihaknya juga tidak menafikan perkara sama akan berlaku di Johor yang mana jumlah kerusi DUN yang lebih banyak.
"Jika kita lihat di Melaka sahaja sudah pasti ada tiga penjuru membabitkan dua pihak daripada kerajaan, ini perkara yang tidak pernah berlaku dan situasi pengundian yang begitu berbeza.
"Tidak mustahil perkara sama akan berlaku di negeri ini pada pilihan raya akan datang, kita menjangkakan jurang besar akan berlaku dari segi pengundian dan kiraan undi berbanding yang dialami dalam pilihan raya sebelum ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai dua calon dipecat UMNO yang diambil PH untuk bertanding pada PRN Melaka, Aminolhuda berkata, pihaknya tidak melihat ia sebagai satu bebanan dan perkara itu telah pun diputuskan oleh parti.
"Mereka ini (Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan) bukan kita ambil daripada UMNO, mereka dipecat kerana mahu membetulkan apa yang terjadi dalam pentadbiran sekarang.
"Ini bukan perkara rumit kerana sekarang ini gelombang rakyat adalah mahukan pentadbiran yang telus.
"Mereka sudah melihat pentadbiran PH selama 22 bulan di bawah Ketua Menteri PH, Adly Zahari, jika mereka rasakan ia adalah terbaik dalam menolak penyelewengan dalam politik mereka akan memberi peluang kepada kepada PH," katanya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!