Aduan gangguan babi, kera paling tinggi

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (tiga dari kiri) melihat perangkap yang diserahkan kepada Perhilitan Negeri Sembilan pada Selasa.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (tiga dari kiri) melihat perangkap yang diserahkan kepada Perhilitan Negeri Sembilan pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Gangguan hidupan liar membabitkan babi dan kera merupakan aduan tertinggi yang diterima Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan pada setiap tahun.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya memandang serius masalah itu kerana kehadiran haiwan berkenaan turut mengancam keselamatan awam.

Menurutnya, di Negeri Sembilan sebahagian besar kawasannya adalah pertanian dan aduan yang banyak diterima ialah daripada pengusaha dan petani.

"Kehadiran haiwan ini menyebabkan kerugian kepada petani dan pengusaha terutama pada musim buah-buahan sedangkan kos untuk memulakan operasi yang terpaksa mereka tanggung adalah tinggi.

"Sebelum ini juga ada kes kanak-kanak yang dicederakan kera, malah saya juga difahamkan masalah gangguan haiwan terbabit turut berlaku di taman-taman perumahan di kawasan bandar," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perhilitan Negeri Sembilan pada Selasa.

Aminuddin sebelum itu menyerahkan 15 unit perangkap besar primat/kera dan 24 unit perangkap babi hutan dengan nilai keseluruhan RM120,000 yang merupakan peruntukan daripada kerajaan negeri kepada pihak Perhilitan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pejabat Perhilitan daerah Seremban, Bandar Seri Jempol dan Daerah Gemas akan menerima lima unit perangkap besar primat dan lapan unit perangkap babi hutan.

"Ikut prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan oleh Perhilitan, haiwan yang telah ditangkap akan dilupuskan atau dipindahkan.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedia maklum bukan mudah untuk menembak dan melupuskan haiwan tersebut dan buat masa ini penggunaan perangkap adalah langkah terbaik digunakan. Lagipun ia kurang risiko kepada anggota Perhilitan dan orang ramai yang memerlukan khidmat tangkapan haiwan liar itu boleh menghubungi Perhilitan untuk bantuan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!