Masalah air Skim Pengairan Pelagat selesai
JERTIH - Masalah bekalan air yang membelenggu 50 pesawah di Skim Pengairan Pelagat (SPP) dekat sini selesai apabila Kementerian Pertanian Malaysia (MOA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera mengatasinya.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhudin Hassan berkata, MOA telah meluluskan peruntukan RM3 juta bagi mengatasi masalah tali air yang rosak di skim pengairan tersebut.
Menurutnya, projek yang dijadual bermula Jun ini membabitkan kerja menaik taraf saliran sepanjang 10km, jalan ladang (4km) dan naik taraf tali air sekunder serta tersier sepanjang 6km.
“Projek tersebut dijangka akan memakan kurang setahun untuk disiapkan seterusnya akan dapat dimanfaatkan oleh pesawah pada musim kedua tanaman padi tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke SPP di sini pagi ini.
Hadir sama Pemangku Pengarah Pertanian Terengganu, Zulkifli Amin Yusof, Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Terengganu Utara ( IADA Ketara), Fatimah Hamid dan Ketua Bahagian Pembangunan JPS Terengganu, Anwar Abu Bakar.
Sallehuddin berkata lagi, projek tersebut adalah penyelesaian jangka panjang kepada masalah bekalan air kepada 50 hektar daripada keselurahan 711 hektar kawasan sawah di skim terbabit.
Menurutnya, ia melibatkan kawasan Kampung Gong Penaga, Kenjing, Air Terjin dan Alos Selising.
“Masalah berlaku akibat tali air sedia ada telah rosak menyebabkan kehilangan air untuk sampai ke petak sawah di kawasan hujung dan musim kemarau turut menjadi faktor sawah merekah,” katanya.
Tambahnya, bagi penyelesaian segera, IADA Ketara telah menghantar sebuah pam bergerak berkapasiti 140 liter persaat untuk pam air dari parit air buang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!