Penganggur paling ramai penagih dadah
KUALA TERENGGANU - Seramai 7,052 penganggur dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah bagi tahun 2020 dan 2021 di negeri ini.
Dalam tempoh tersebut juga, sebanyak 10 kategori pekerjaan direkodkan terlibat dengan penyalahgunaan dadah iaitu buruh 6,693 orang, buruh kasar (483), nelayan (445), berniaga (315), mekanik (276), buruh binaan (197), pembantu kedai (171), pemandu lori (115) dan pengawal keselamatan (83).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Superintendan Tium Ming Kung berkata, walaupun jumlah tangkapan penagih dadah dalam kalangan penganggur merekodkan penurunan pada tahun ini iaitu 3,028 berbanding t4,024 bagi tempoh sama tahun sebelumnya, tetapi statistik keseluruhan masih menunjukkan penganggur paling tinggi terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
"Hasil pemerhatian awal mendapati golongan penganggur lebih gemar memilih dadah jenis heroin bertujuan untuk khayal berbanding barang terlarang yang lain, selain itu pekerja kategori buruh pula lebih gemar mengambil pil kuda dan syabu, kononnya beranggapan dadah jenis ini memberi lebih tenaga kepada mereka bersesuaian dengan pekerjaan harian dilakukan.
"Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, seramai 7,704 penagih dadah berjaya direkodkan iaitu jika dipecahkan kategori umur pula, jumlah penagih dadah yang berusia antara 30 hingga 39 tahun merekodkan jumlah penagih dadah paling tinggi berjaya ditangkap iaitu 3,003 diikuti penagih berusia 19 hingga 29 tahun seramai 2,410.
"Selain itu, penagih berusia 40 hingga 49 tahun (1,795); 50 hingga 59 tahun (337); 60 hingga 69 tahun (17) dan tangkapan penagih di bawah umur 18 tahun (141) serta seorang warga emas berusia 70 hingga 79 tahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!