Terima kasih Tun M: Ahmad Yakob

AHMAD YAKOB
AHMAD YAKOB
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dengan kelulusan lima projek utama pembangunan Negeri Kelantan yang dianggarkan memakan belanja RM1.4 bilion.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob melalui satu kenyataan di sini berkata, pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) adalah tepat dan kerajaan negeri akan memberi kerjasama sebaik mungkin demi kepentingan rakyat.

"Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama terbaik kepada Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan semua projek-projek pembangunan negeri dan negara.

"Kerajaan Negeri juga menyatakan sokongan penuh di atas keputusan Tun Dr Mahathir bahawa tidak akan ada lagi lantikan politik dalam MTNg dan buat pertama kali struktur majlis ini dirombak dengan melibatkan pegawai Kerajaan negeri dan persekutuan sahaja," katanya.

Selain itu, pihak kerajaan negeri juga merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi di atas kesudian mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Besar Kelantan, selain turut mempengerusikan Mesyuarat MTNg Kelantan buat kali pertama.

Lima projek yang diumumkan ialah pembinaan LPT3 sejauh 150 kilometer bermula dari Gemuroh (Terengganu) ke Tumpat sepanjang 150 kilometer, menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, membina jalan raya yang menghubungkan Pasir Puteh-Machang-Jeli, pembinaan jambatan Palekbang di Kota Bharu dan pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (SCR) sepanjang 123 kilometer.

Pengumuman tersebut mendapat reaksi positif rakyat negeri ini dan berharap projek-projek mega tersebut dapat dilaksanakan sebaik mungkin sebagaimana yang dirancang.

Mohamed Azmin dalam kunjungan ke negeri ini turut memaklumkan pembayaran royalti akan bermula selepas prosiding penarikan semula saman kerajaan negeri terhadap kerajaan persekutuan selesai dan ia dijangka berakhir pada bulan April ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!