SPR perlu kemuka kaedah longgarkan SOP untuk calon berkempen
MELAKA - Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi kelonggaran kepada calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika menjalankan kempen masing-masing.
Beliau berkata, SPR perlu mencari kaedah yang bersesuaian selagi ia tidak melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Penting pada kita calon-calon ini diberikan ruang, tetapi jangan sampai melanggar Akta 342. Itu lebih baik. Jika tidak, ia boleh jadi masalah besar kerana wabak ini boleh merebak bukan hanya di Melaka tetapi seluruh negara.
"Cabaran (kempen normal baharu) bukan hanya pada calon Perikatan Nasional (PN) tetapi juga daripada parti-parti lain.
"Saya mahu lihat supaya SPR dapat mencari kaedah yang memberi ruang untuk rakyat benar-benar dapat memilih siapa sebenarnya yang mereka mahu pilih. Jadi mungkin satu dua hari lagi dapat diberikan sedikit ruang," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Media PRN Melaka, di Ayer Keroh pada Selasa.
SOP terkini yang diitetapkan SPR bagi PRN Melaka menghalang calon daripada berkempen secara bersemuka bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.
Hamzah berkata, berikutan pelaksanaan SOP itu juga, beliau mengakui pihak polis perlu bertindak tegas namun lebih berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan di bawah Akta 342.
"Saya minta polis tegas dari segi Akta 342 tapi menggunakan budi bicara agar calon-calon itu dapat melakukan pengenalan diri dan berkempen supaya rakyat dapat buat perbandingan," katanya.
Beliau berkata, setakat ini tiga laporan berkaitan kesalahan melanggar SOP ketika proses penamaan calon yang berlangsung pada Isnin.
Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!