Ah long salah simbah cat merah, ancam bakar rumah

Mohd Hafiz (kiri) dan Wee Tse menunjukkan salian laporan polis dan foto-foto rumah disimbah cat merah di Taman Muhibbah, selepas sidang akhbar Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Batu,Taman Tropika, Kulai, pada Selasa.
Mohd Hafiz (kiri) dan Wee Tse menunjukkan salian laporan polis dan foto-foto rumah disimbah cat merah di Taman Muhibbah, selepas sidang akhbar Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Batu,Taman Tropika, Kulai, pada Selasa.
A
A
A

KULAI - Lima beranak kini hidup dalam ketakutan selepas rumah mereka di Taman Muhibbah di sini disimbah cat merah, dipercayai perbuatan ah long yang tersalah rumah.

Penghantar makanan, Mohd Hafiz Mohd Khairi, 36, berkata, dia terkejut melihat pagar dan pekarangan rumahnya disimbah cat merah selepas mereka sekeluarga pulang dari ke kampung di Kota Tinggi, pada Ahad.

"Kami balik kampung selama sehari pada Khamis dan tiada sesiapun di rumah pada malam itu dan pulang semula pada jam 8 pagi esoknya.

"Saya hairan melihat cat merah disimbah di seluruh rumah saya. Saya tidak pernah meminjam wang daripada sesiapa apatah lagi ah long.

"Tiga daripada lapan kucing saya turut terkena cat merah. Beberapa ikan peliharaan saya turut mati kerana cat merah masuk akuarium," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Taman Tropika di sini pada Selasa.

Katanya, mereka juga meninggalkan nota di pintu pagar dan mengancam untuk membakar rumahnya jika enggan membayar balik pinjaman.

Menurutnya, ah long terbabit meninggalkan nombor telefon Singapura dalam nota ugutan itu dan meminta menghubungi individu bernama Kent. Bagaimanapun, selepas isterinya menghubungi nombor tersebut dan memaklumkan tidak pernah meminjam wang, mereka tidak peduli dengan penjelasan yang diberikan.

Tambah Mohd Hafiz, mereka juga meletakkan alamat jirannya dalam nota ugutan berkenaan yang merujuk kepada rumah sebelah.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hafiz mendakwa, ah long berkenaan hanya mahukan duit mereka dibayar dan susulan itu dia membuat laporan polis pada Isnin kerana bimbang keselamatan keluarganya terutama anak-anaknya yang berusia antara lapan hingga 15 tahun.

"Saya bimbang dengan keselamatan keluarga saya, lebih-lebih lagi ah long berkenaan mengancam untuk membakar rumah saya. Mereka menyuruh saya membayar bagi pihak jiran jika saya tidak mahu membahayakan nyawa keluarga saya," katanya.

Dia ada memberitahu jirannya tentang kejadian itu namun mendakwa bahawa tiada seorang pun daripada keluarga mereka meminjam wang.

"Jiran saya yang merupakan pasangan warga emas berusia 60-an dan anak lelaki mereka berusia 38 tahun berkata, tiada sesiapa di rumah mereka meminjam wang daripada peminjam.

"Mereka memberitahu saya bahawa mereka juga telah menghubungi dua anak mereka yang tinggal di Singapura dan turut mendakwa mereka tidak membuat sebarang pinjaman," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata, keluarga Mohd Hafiz tidak bersalah dan berharap polis dapat menyiasat perkara itu secepat mungkin dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.

"Ini adalah tidak adil untuk keluarga kerana mereka tidak melakukan kesalahan. Ugutan daripada pemberi pinjaman terlalu melampau dan menyebabkan tekanan kepada keluarga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!