Kerana pertalian darah, Nazir urus duit Najib akhirnya menyesal
SHAH ALAM - Keempat-empat anak lelaki Allahyarham Tun Abdul Razak mempunyai peranan secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan abang sulung mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri yang berjaya.
Menurut laporan Astro Awani, Datuk Seri Nazir Razak berkata, beliau pada ketika itu sangat berbangga melihat abangnya menyambung legasi ayahanda mereka dan sebarang pertuduhan salah laku diketepikan atas semangat adik-beradik.
Tambahnya, selepas Najib menjadi Perdana Menteri pada 2009, abangnya pernah meminta pertolongannya berhubung soal kewangan parti sewaktu negara menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2013.
“Beliau ketika itu dalam mod mengumpul dana. Saya tahu daripada rakan-rakan perniagaan saya, mereka sentiasa menyumbang dana untuk kempen politik.
"Sedikit luar daripada kebiasaan apabila sewaktu era Najib, mereka diminta menyalurkan wang ke akaun bank, bukan secara tunai.
“Satu hari, abang saya perlukan pertolongan untuk menukar dana tersebut dalam bentuk tunai.
"Najib sedang dalam tekanan kerana beliau perlu memenangi PRU pertamanya sebagai pemimpin utama UMNO,” katanya pada Selasa.
Beliau berkata demikian dalam memoirnya bertajuk 'What’s in a Name' dalam bab bertajuk ‘Najib’s Rise’ yang memperincikan keraguan beliau terhadap penubuhan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta hubung kait dana itu dengan Najib.
Biografi setebal 358 muka surat itu, memperincikan pengalaman Nazir dalam membangunkan CIMB sebagai institusi berperanan membawa Asean keluar dari Asian Financial Crisis.
Selain itu, terdapat juga bab-bab di mana Nazir berusaha menjunjung legasi ayahnya, Abdul Razak serta perkongsian tentang penubuhan 1MDB yang akhirnya menyebabkan kejatuhan abangnya serta Barisan Nasional (BN).
Berkongsi lanjut, tokoh perbankan itu berpendapat, permintaan abangnya bukan menjadi masalah kerana Najib bukan memohon pinjaman daripada CIMB atau Nazir sendiri, tetapi cuma perlu menukar cek kepada tunai dengan kadar segera.
Tambahnya, Najib ketika itu berkata, cek tersebut akan dikeluarkan dari akaun peribadi AmBanknya.
“Saya kata, satu-satunya jalan untuk saya membantu beliau adalah dari sudut persendirian... bukan sebagai CIMB. Jadi saya mewujudkan satu akaun khas untuk menguruskan transaksi Najib di bawah nama saya sendiri.
“Memandangkan cek itu dari AmBank, saya tahu bank itu akan membuat langkah pemeriksaan terhadap sumber wang tersebut bagi mematuhi peraturan anti penyelewengan dana. Jadi saya tiada alasan untuk meragui sumber wang itu,” katanya.
Ujar Nazir, Najib ketika itu meminta pertolongan beliau untuk menukar empat keping cek berjumlah RM27.5 juta kepada bentuk tunai dan apabila wang itu diperlukan seseorang akan datang mengambilnya di bank.
“Saya tidak pernah menyimpan atau menggunakan walau sesen pun dari dana tersebut. Saya sangka saya sedang menolong abang saya, memainkan peranan tanpa melanggar undang-undang atau peraturan.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk menyoal sumber dana tersebut. Sudah tentu, selepas itu saya amat menyesal kerana terlibat dalam transaksi itu,” jelasnya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!