1MDB, episod yang menghantui saya, ini sebabnya ...': Nazir
SHAH ALAM - “Mengapa saya juga perlu melakukan sesuatu? Saya sudah bersara," kata Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut laporan Astro Awani, beliau berkata demikian dalam satu pertemuan dengan bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak dan pemilik The Edge Group, Datuk Tong Kooi Ong di London sekitar 2015.
Nazir dalam memoirnya, 'What’s in the Name' mendedahkan, pertemuan itu bukan sesuatu yang mudah untuk beliau dan Kooi Ong, tetapi ia harus dilakukan demi mencari kebenaran tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Nazir berkata, beliau dan Kooi Ong mempunyai sejarah yang agak traumatik dan tegang dengan bekas Perdana Menteri itu.
“Tun, anda perlu melakukan sesuatu kerana anda yang menjadikan beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebagai Perdana Menteri,” kata Nazir, mengimbas kembali pertemuan itu.
Pengasas firma Ikhlas Capital itu berkata demikian dalam memoirnya bertajuk 'What’s in a Name' dalam bab bertajuk Eh, We Have a Problem yang memperincikan keraguan beliau terhadap penubuhan 1MDB serta hubung kait dana itu dengan Najib.
Biografi setebal 358 muka surat itu memperincikan pengalaman Nazir dalam membangunkan CIMB sebagai institusi berperanan membawa ASEAN keluar dari Asian Financial Crisis.
Selain itu, terdapat juga bab-bab di mana Nazir berusaha menjunjung legasi ayahnya, Allahyarham Tun Abdul Razak serta perkongsian tentang penubuhan 1MDB, yang akhirnya menyebabkan kejatuhan abangnya serta Barisan Nasional (BN).
Imbas kembali pertemuan itu, Nazir memulakan sesi itu dengan menyuarakan kebimbangan kepada Dr Mahathir bahawa beliau dan Kooi Ong percaya berbilion dolar telah diseleweng dari 1MDB.
“Kooi Ong sebenarnya yang banyak mendedahkan tentang apa yang kami ketahui tentang 1MDB. Dr Mahathir kelihatan mudah memahami situasi itu yang mana ia memeranjatkan mereka, selepas mengambil kira perincian dan penerangan Kooi Ong.
“Saya syak Dr Mahathir sebenarnya telahpun diberi taklimat mengenai 1MDB dan menggunakan pertemuan itu sebagai perbandingan terhadap apa yang beliau ketahui dan fahami,” katanya. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!