Sara Duterte bakal buat kejutan?

Sara berulang kali menolak untuk bertanding jawatan Presiden pada pemilihan tahun depan. - Foto: Agensi
Sara berulang kali menolak untuk bertanding jawatan Presiden pada pemilihan tahun depan. - Foto: Agensi
A
A
A

MANILA - Anak perempuan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada Selasa menarik diri daripada bertanding untuk jawatan Datuk Bandar Davao City, beberapa hari sebelum tarikh akhir untuk mengubah pencalonan menjelang Pilihan Raya Presiden pada tahun depan tamat pada Isnin depan.

Sara Duterte-Carpio, 43, yang disebut sebagai calon utama pengganti bapanya bagaimanapun tidak menyatakan sebab beliau membuat keputusan tersebut.

Wanita itu menerusi Facebook hanya memaklumkan pengumuman selanjutnya akan dibuat tidak lama lagi.

Sara turut memaklumkan adiknya, Sebastian, 34, yang memegang jawatan Timbalan Datuk Bandar akan bertanding menggantikan beliau setelah wanita berkenaan mentadbir Davao selama kira-kira tiga dekad.

Sebelum ini, beliau berulang kali menegaskan tidak berhasrat untuk bertanding bagi merebut jawatan Presiden.

Baru-baru ini, pendirian wanita itu bagaimanapun berubah apabila beliau menzahirkan kesediaan untuk membentuk pakatan dengan calon presiden, Ferdinand 'Bongbong' Marcos Jr yang merupakan anak pemimpin diktator kontroversi yang digulingkan pada 1986.

Sebelum ini, penyokong Marcos turut menyokong Sara yang mempunyai pengaruh besar dalam politik di wilayah selatan untuk menjadi pasangan regu beliau dalam pemilihan tersebut.

Antara calon yang sudah mendaftarkan pencalonan Presiden adalah Senator dan ikon tinju yang sudah bersara, Manny Pacquiao, bekas aktor dan Datuk Bandar Manila, Francisco Domagoso, Naib Presiden, Leni Robredo, Senator Panfilo Lacson dan Marcos. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!