KKMM lancar rangkaian 5G pertama esok

Annuar. - Foto Bernama
Annuar. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan melancarkan rangkaian 5G Malaysia yang pertama esok, sebagai usaha menyediakan kemudahan internet yang lebih pantas kepada rakyat.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelancaran 5G itu adalah untuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya pada tahun pertama, sebelum secara berperingkat-peringkat diperluaskan sehingga mencapai 36 peratus liputan di seluruh negara.

“Pada tahun hadapan, pelancaran 5G akan ditumpukan pula pada negeri padat penduduk termasuk Pulau Pinang, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian bantuan Deepavali Rumah Prihatin kepada kira-kira 200 buah keluarga di Rumah Prihatin @ Grand Seasons, di sini pada Selasa.

Pada majlis itu, Annuar turut menyaksikan penyerahan 2,000 kotak makanan yang disumbangkan syarikat Shopee Malaysia kepada Rumah Prihatin, bagi membantu golongan yang memerlukan dan terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Annuar berkata, perkhidmatan 5G adalah pencetus perubahan untuk ekonomi masa hadapan, kerana ia membolehkan peluang pekerjaan diwujudkan dalam pelbagai kegiatan berteknologi tinggi.

Tambahan, di bawah Pelan Jalinan Digital Negara atau Jendela yang sedang berjalan, Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bakal diwujudkan untuk memastikan rakyat mempunyai platform mengikuti perkembangan teknologi digital yang terbaharu, atau menjalankan perniagaan secara e-dagang.

“Semua ini mesti dimanfaatkan oleh rakyat. Sebab itu KKMM melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), akan membuka PEDi di Rumah Prihatin di sini bagi melatih penduduk ibu kota menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi digital.

“Ini bersesuaian dengan hasrat kita menggalakkan mereka memulakan semula aktiviti ekonomi atau program-program penjanaan pendapatan, selari dengan peralihan negara menuju ke arah endemik,” katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!