Wanita maut ditikam anak saudara
IPOH - Seorang wanita warga emas ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan pisau masih tertusuk di leher dalam kejadian bunuh di Kampung Cina, Menglembu di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa dikenali sebagai Aw Foong Meng, 73, dipercayai ditikam dan dikelar oleh anak saudaranya sendiri dalam rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pasukan peronda (MPV) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan 999.
"Mangsa ditemui anggota dalam keadaan tertiarap di tepi katil. Pemeriksaan Forensik dan Patologi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
"Terdapat kesan kelar dan tikaman di leher serta senjata iaitu sebilah pisau ditemui tertusuk di belakang leher," katanya ketika ditemui media di sini.
Menurutnya, suspek berusia 40 tahun ditahan dan permohonan reman akan dilakukan pada Rabu.
"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh," katanya.
Ditanya mengenai keadaan suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental, Yahaya berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dan menyemak rekod kesihatan.
Sementara itu, jiran mangsa, A Lingam, 37, berkata, suspek tinggal bersama wanita itu sejak beberapa bulan lalu dan dipercayai mengalami masalah mental.
Katanya, sejak beberapa hari lalu, lelaki terbabit ada memberitahu mengenai individu yang mahu mencederakannya.
"Suspek tidak pernah kacau orang dan dia hanya diam jika berjumpa. Bagaimanapun, baru-baru ini dia beritahu ada orang datang nak pukul.
"Saya periksa kawasan rumah, tapi tiada orang asing yang masuk ke sini. Saudara mereka ada beritahu yang suspek sakit mental dan sudah tiga bulan tidak makan ubat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!