Pandemik Covid-19 tidak hentikan aktiviti rasuah, salah guna kuasa

Datuk Seri Azam Baki
Datuk Seri Azam Baki
A
A
A

PUTRAJAYA - Pandemik Covid-19 mengganggu usaha pertumbuhan ekonomi dan aktiviti sosial seluruh negara, namun tidak menghentikan aktiviti rasuah serta salah guna kuasa daripada berlaku, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.

Sehubungan itu, beliau berkata, SPRM sebagai agensi utama dalam pencegahan rasuah, komited melaksanakan tindakan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan, bagi membanteras segala bentuk rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

“Tindakan penguatkuasaan adalah tindakan punitif apabila perbuatan rasuah dan salah guna dikesan berlaku,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Integriti dan pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini pada Selasa.

Pada 10 April lepas, Azam mendedahkan yang SPRM mengesan peningkatan kes rasuah berskala besar membabitkan sindiket jenayah dan kartel serta penjawat awam, sejak wabak Covid-19 melanda negara tahun lepas.

Peningkatan itu, katanya, dipercayai kesan kegawatan ekonomi akibat penularan pandemik itu yang menyebabkan semakin ramai individu berada dalam keadaan terdesak.

Azam berkata, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan rasuah tidak sekali-kali menjadi budaya dalam kehidupan.

“Malah, jenayah ini akan dipandang jijik dan hina. Pikullah amanah dan tugas yang diberi dengan penuh integriti, walaupun amanah itu berat, tetapi di sebaliknya tersembunyi pahala yang besar,” katanya.

Pada majlis itu, Azam menasihatkan KBS dan agensi-agensi di bawahnya berhati-hati dalam hal ehwal pengurusan dana dan bantuan selepas diberikan peruntukan kewangan yang agak besar untuk pembangunan belia dalam Bajet 2022.

Artikel Berkaitan:

“Lebih besar dana yang diperuntukkan, risiko berlaku penyelewengan adalah lebih tinggi. Pasti akan ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengintai peluang, mencari ruang untuk keuntungan poket mereka.

“Justeru, cabaran besar kepada KBS dan agensi-agensinya untuk memastikan segala peruntukan, dana dan bantuan diuruskan secara berintegriti, telus serta tiada penyelewengan,” katanya. - Bernama

-end-

TAG: azam baki, pandemik, COVID-19, rasuah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!