Akta berkaitan pemberi maklumat perlu dikaji semula

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui dalam sebuah sidang media selepas merasmikan Penutupan Konvensyen Integriti Malaysia 2021 pada Selasa. - Foto Bernama
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui dalam sebuah sidang media selepas merasmikan Penutupan Konvensyen Integriti Malaysia 2021 pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Undang-Undang berkaitan pemberi maklumat atau ‘whistleblower’ di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) akan diperhalusi dan dikaji semula dalam usaha meningkatkan integriti nasional.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, undang-undang yang ada ketika ini adalah tidak mencukupi dan perlu dikaji semula.

"Mengenai whistleblower ini, saya masih mengkaji. Dari tahun 2017, saya kata undang-undang berkaitan whistleblower ini masih belum mencukupi dan perlu dikaji semula. Kalau cakap orang kita, tiada bos. Whistleblower itu tidak dipantau oleh mana-mana pihak.

"Diletak di bawah kementerian saya di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) kementerian ini, tiada orang yang mengendalikan. Kalau kita lihat di negara lain, ia di bawah pengarah di Amerika dan ombudsman di Australia, kita kena fikir perkara itu dan saya sudah minta pihak BHEU untuk mengkajinya," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan penyampaian resolusi Konvensyen Integriti Nasional 2021 (KIN2021) di Menara Integriti, di sini pada Selasa.

Beliau juga berkata, kajian itu perlu bagi menjamin rahsia pemberi maklumat terpelihara sekiranya melakukan aduan membabitkan sesebuah agensi.

"Kita boleh letak di bawah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) supaya apa sahaja aduan mengenai sesuatu agensi, pihak ini yang akan menyimpan rahsia. Jadi baru orang ramai (melakukannya), setakat ini, whistleblower tidak ramai kerana orang tidak berani untuk lapor. Kalau nak lapor pada polis, polis akan selidik dan maklumat pelapor itu polis tahu. Jadi, orang tidak guna akta pemberi maklumat ini.

"Melainkan jika ada satu agensi untuk menyelia dan orang ini akan simpan rahsia siapa yang melapor. Jadi untuk masa sekarang, ia di bawah kajian, insyaALLAH kita akan cari cara memperbaiki," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Nor'afiza Saim berkata, institut itu akan terus memberi tumpuan bagi menghalang perlakuan rasuah dan penyelewengan dalam sesebuah organisasi selain meningkatkan integriti sektor awam mahupun swasta menerusi pembangunan sistem baharu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, berbekalkan mandat yang diberikan, pihaknya akan membantu organisasi menghalang salah guna kuasa dan rasuah dengan tumpuan adalah lebih kepada sektor swasta kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia lebih kepada sektor awam.

"Kita sekarang menggunakan standard antarabangsa iaitu Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS), kita akan mula bangunkan standard sendiri iaitu Sistem Pengurusan Integriti. Jadi insyaALLAH, dengan sistem ini kita boleh tingkatkan integriti dalam organisasi itu tidak kira sektor awam mahupun swasta," katanya.

Antara resolusi yang dikemukakan pada KIN2021 itu ialah menilai dan membaiki kerjasama, pengagihan semula pembangunan dan populasi berintegriti, pemerkasaan ekosistem pendidikan, merapatkan jurang komunikasi dan sistem pengurusan maklumat, pelaksanaan dan perancangan secara adil serta pengkhususan nilai kekeluargaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!