Sik jadi lokaliti pertama projek rintis basmi kemiskinan tegar
SHAH ALAM - Kerajaan telah mencadangkan satu kampung di Sik, Kedah untuk dijadikan sebagai lokaliti pertama bagi pelaksanaan projek rintis membasmi kemiskinan tegar secara holistik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pendekatan baharu itu akan melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun, universiti, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), organisasi berasaskan komuniti (CBO) setempat dan pihak swasta.
“Selain di daerah Sik, program rintis membasmi kemiskinan tegar ini akan dilaksanakan di beberapa lokaliti lain seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri perbincangan sesi Poverty Circle ke-5 yang diadakan secara maya pada Selasa.
Mustapa memaklumkan, sesi tersebut diadakan susulan lawatannya ke Sik pada 6 November lalu.
Mustapa berkata, perbincangan yang diadakan itu bagi mengenal pasti pendekatan holistik lebih berkesan untuk menghapus kemiskinan tegar di lokaliti terpilih.Katanya, usaha itu merupakan sebahagian daripada langkah pelaksanaan strategi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang meletakkan sasaran untuk menghapus kemiskinan tegar pada tahun 2025 dengan mentransformasi pendekatan bagi membasmi kemiskinan tegar.
“Pelaksanaan pendekatan baharu ini memerlukan pangkalan data yang tepat. Sehubungan itu, pemutihan data eKasih sedang dilaksanakan oleh pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), JPM bagi memastikan ketelusan dan ketepatan maklumat kumpulan sasar.
“Berdasarkan pangkalan data eKasih pada masa ini, terdapat kira-kira 178,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar yang produktif iaitu berusia antara 15 hingga 60 tahun di seluruh negara,” jelas beliau.
Pada masa sama, Mustapa berkata, selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, EPU telah menubuhkan satu unit kemiskinan khusus untuk menangani isu kemiskinan dengan penugasan semula fungsi dan perjawatan sedia ada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!