Tabung Kebajikan Pesakit LZS terima sumbangan RM3.7 juta
LZS dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, sumbangan kepada tabung kebajikan itu melibatkan dua fasa penyaluran sepanjang tahun ini.
Menurut LZS, melalui tabung itu, setiap hospital dan institusi perubatan masing-masing menerima sumbangan zakat di antara RM40,000 hingga RM300,000.
"Sumbangan fasa pertama disalurkan pada bulan Jun lalu melibatkan peruntukan zakat sebanyak RM1.7 juta.
"Sumbangan bagi fasa kedua disalurkan pada bulan November 2021 dengan peruntukan sebanyak RM1.9 juta," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit LZS itu disalurkan dalam bentuk geran yang diperuntukkan oleh LZS sejak tahun 2008.
"Ia merupakan sebahagian usaha LZS untuk meringankan beban pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital, lebih-lebih lagi dalam krisis pandemik Covid-19," kata kenyataan itu lagi.
Antara hospital yang menerima sumbangan itu termasuklah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur, Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan Institut Kanser Negara.
Simbolik penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dalam satu majlis diadakan di sini.
Hadir sama pada majlis tersebut, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr Faizal Mat Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!