JDT tiada masalah benam Kelantan FC
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berada dalam kelas tersendiri apabila mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam saingan Kumpulan A Piala Malaysia selepas membenam Kelantan FC 4-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sebentar tadi.
Tanpa sebarang jaringan dalam tempoh 45 minit pertama perlawanan, JDT akhirnya berjaya membuka tirai jaringan menerusi rembatan dari luar kotak penalti, Syafiq Ahmad pada minit ke-48.
Leandro Velazquez menyumbat gol kedua Harimau Selatan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-60 sebelum Guilherme de Paula menambah gol ketiga berselang seminit kemudian.
Bekas kapten Perak FC, Shahrul Saad melengkapkan kemenangan bergaya JDT apabila menanduk masuk bola sepakan penjuru Safawi Rasid pada masa kecederaan.
Kemenangan itu menyaksikan JDT mengumpul 18 mata maksimum manakala Kelantan FC yang gagal meraih sebarang perlawanan dalam saingan Kumpulan D hanya merekodkan dua mata.
Selaku juara Kumpulan D, JDT yang juga penyandang juara dijadualkan menentang naib juara Kumpulan C, Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi suku akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!