'Barang keperluan bayi bakal lahir hangus'

Kejadian kebakaran memusnahkan empat buah rumah kedai dan 10 kediaman. (Gambar kecil: Marisa)
Kejadian kebakaran memusnahkan empat buah rumah kedai dan 10 kediaman. (Gambar kecil: Marisa)
A
A
A

KOTA BHARU - "Saya tinggal sehelai sepinggang apabila semua baju dan barang peribadi saya, termasuklah barang-barang bayi yang akan dilahirkan tidak lama lagi semuanya hangus," luah seorang mangsa kebakaran rumah kedai di Jalan Sultanah Zainab di sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 7.22 malam itu, Marisa Makhtar, 31, yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu sedang sarat mengandung anak ketiga yang bakal dilahirkan pada hujung November ini baru selesai memandikan dua anaknya.

Dia terkejut apabila melihat tiga buah rumah berdekatan dengan rumahnya sedang terbakar.

"Saya, suami dan dua anak keluar meninggalkan rumah. Tiada apa yang sempat kami bawa, termasuklah barang-barang penting kami. Apa yang penting kami sempat selamatkan diri.

"Luluh hati saya memikirkan keadaan kami yang sehelai sepinggang ini, namun saya reda. Malam ini kami terpaksa tumpang tidur di masjid berhampiran ini dahulu," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 rumah, empat rumah kedai musnah terbakar

Seorang lagi mangsa yang juga pemilik kedai elektronik, Lim Meng Ann, 50, memberitahu, dia terkejut apabila pulang dari kerja dan isteri memberitahu sebuah rumah di belakang rumah kedai mereka sedang terbakar.

Katanya, ketika itu isterinya sedang menyiapkan makan malam dan menunggu untuk makan bersama.

Artikel Berkaitan:

Mumtaz (kanan) sedang mendapatkan maklumat lengkap mengenai kejadian berkenaan di lokasi tersebut.
Mumtaz (kanan) sedang mendapatkan maklumat lengkap mengenai kejadian berkenaan di lokasi tersebut.

"Saya baru balik baiki barang elektronik di rumah kawan. Tiba-tiba isteri beritahu nampak rumah belakang cerah. Saya pun tengoklah, rupanya 'cerah' tu adalah cahaya api yang sedang marak.

"Saya jerit suruh seorang anak dan isteri saya keluar rumah. Masa itu saya telefon bomba untuk maklumkan sebab api memang marak dengan cepat. Lagipun memang kawasan kediaman ini dekat-dekat.

"Rumah kedai saya pula menyimpan lebih 50 barangan elektronik seperti televisyen, mesin basuh dan sebagainya. Semuanya orang hantar suruh baiki. Saya nak buat macam mana," katanya.

Kejadian berkenaan turut mendapat perhatian Kerajaan Negeri dengan memberikan sumbangan kecemasan melalui Bantuan Segera Bencana yang disampaikan secara terus kepada mangsa yang terlibat.

Sumbangan berkenaan diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Datuk Mumtaz Md Nawi yang hadir ke lokasi kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!