Budu kampung kekal laris

Halimah menunjukkan budu yang diisi ke dalam botol untuk dijual kepada pelanggan yang datang sendiri ke rumahnya di Kampung Pantai Geting.
Halimah menunjukkan budu yang diisi ke dalam botol untuk dijual kepada pelanggan yang datang sendiri ke rumahnya di Kampung Pantai Geting.
A
A
A

MAKANAN popular masyarakat Kelantan, budu sudah banyak dikomersialkan namun ‘budu kampung’ masih tetap laris dan mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Penggemar budu tulen menyukai rasa budu yang lebih asli dan dihasilkan tanpa menggunakan pewarna atau bahan perasa tambahan.

Lebih istimewa budu kampung dihasilkan sendiri oleh penduduk tempatan dengan cara tradisional tanpa kaedah moden di kawasan pantai kerana lebih mudah untuk memperoleh bahan asas penghasilan budu iaitu ikan bilis.

Pasangan suami isteri, Jali Nor, 67, dan Halimah Mat Nawi, 67, dari Kampung Pantai Geting mengusahakan budu dengan menggunakan kaedah tradisional ini sejak 20 tahun lalu.

Jali berkata, proses pembuatan budu mengambil masa minimum dua bulan sehingga setahun menggunakan ikan bilis yang digaulkan dan diperap bersama garam kasar mengikut nisbah ikan bilis 70 peratus manakala garam 30 peratus.

“Perapan dibiarkan dalam tong plastik selama seminggu dan campuran akan dikacau hingga bersebati.

Artikel Berkaitan:

Pengusaha budu kampung, Halimah Mat Nawi, 67, menunjukkan tong plastik yang digunakan untuk proses perap ikan bilis dan garam bagi menghasilkan budu.
Pengusaha budu kampung, Halimah Mat Nawi, 67, menunjukkan tong plastik yang digunakan untuk proses perap ikan bilis dan garam bagi menghasilkan budu.

“Campuran ikan dan garam itu dibiarkan lebih lama sehingga bertukar menjadi cairan gelap. Lebih lama perap, lebih sedap,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, mereka menggaul sehingga tiga tan ikan bilis pada setiap kali proses pembuatan budu dan menjual antara 30 dozen hingga 50 dozen botol budu 500 mililiter setiap hari.

“Harga sedozen 500 mililiter budu ialah RM13 manakala sebotol pula berharga RM2.

“Pelanggan yang membeli datang dari serata Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Perak, Pahang dan Johor,” katanya.

Sementara itu, Halimah berkata, pada awal pembabitan dalam industri pembuatan budu, mereka hanya menghasilkan enam botol budu yang tidak dapat sambutan dan akhirnya disedekahkan kepada penduduk kampung.

“Bermula daripada itu, budu kami dikenali dari mulut ke mulut dan kini terjual sehingga 50 dozen sehari.

“Saya menyasarkan pasaran budu yang lebih luas dan mengupah pekerja untuk menampung permintaan budu kampung,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!