Pengundi ingatkan jangan lari bila dah menang
MELAKA - "Dah menang nanti jangan lari, bila beri bantuan jangan pilih-pilih."
Itu antara luahan hati pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N15 Pengkalan Batu kepada calon veteran Barisan Nasional (BN), Datuk Kalsom Nordin.
Kalsom, 68, berkata, luahan rakyat itu seolah-olah menggambarkan mereka mahukan perubahan dan memberi sinar keyakinan bahawa kawasan yang selama ini menjadi kubu kuat parti lain dapat dirampas BN.
Menurut Kalsom, biarpun dirinya dianggap sebagai calon berusia dalam pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, namun segala jentikan negatif itu tidak melemahkan semangat kewanitaannya untuk terus bekerja keras bagi memenangi hati pengundi.
Katanya, apa yang diharapkan agar pengundi terutamanya pengundi Melayu membuat pilihan bijak demi agama dan bangsa lebih-lebih lagi DUN itu mempunyai kira-kira 60 peratus pengundi Melayu.
"Jujur saya terasa hati bila ada yang 'menghitungkan' usia saya, tapi saya anggap ini medan untuk saya mencuba nasib dan rezeki kerana ada orang muda pun belum tentu dipilih sebagai calon.
"Bila saya duduk di kedai makan, ada pengundi yang meluahkan, kalau orang itu dapat bantuan, orang lain juga perlu diberikan jika ia memerlukan, tanpa memilih bulu dan jangan lari bila telah menang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabat UMNO Hang Tuah Jaya, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata, beliau meletakkan harapan tinggi sekiranya menang di kerusi itu untuk melihat DUN Pengkalan Batu mempunyai sebuah klinik wanita dan kanak-kanak sekali gus mampu mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka.
"Saya rasa penting ditambah klinik di kawasan ini kerana tidak semua wanita dan kanak-kanak yang mampu mendapatkan rawatan perubatan di hospital mahupun klinik swasta dengan kos yang tinggi.
"Saya lihat banyak tanah kosong yang boleh kita laksanakan pembinaan itu sekali gus memberi penekanan aspek kesihatan kepada penduduk kawasan ini," katanya.
Pada PRN ini, Kalsom yang juga Ketua Wanita Hang Tuah Jaya akan berdepan pertandingan lima penjuru menentang rakannya, Dr Mohd Aluwi Sari (Putra), Mohd Azrudin Md Idris dari Perikatan Nasional (PN), Muhamad Danish Zainudin dari Pakatan Harapan (PH) dan penyandang kerusi DUN itu, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Norhizam yang bertanding atas tiket PH menang dengan majoriti 2,756 undi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!