Amaran hujan lebat di Kelantan
KOTA BHARU - Amaran cuaca buruk peringkat jingga iaitu hujan lebat berterusan dikeluarkan bagi negeri Kelantan dijangka berlaku pada Rabu.
Amaran tersebut dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Kementerian Alam Sekitar dan Air pada jam 8 pagi.
Berdasarkan amaran itu, cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Kelantan melibatkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh.
Amaran baharu cuaca buruk peringkat jingga pada Rabu itu dikemas kini berbanding amaran cuaca waspada (kuning) dikeluarkan pada jam 1 tengah hari, Selasa.
Di Terengganu pula amaran waspada hujan berterusan dijangka berlaku di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.
Cuaca hujan lebat di dua negeri pantai timur tersebut dijangka berterusan apabila angin bertiup dari arah timur laut yang berpotensi membawa hujan lebat dan angin kencang.
Keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah di negeri-negeri tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!