Maut kereta bertembung kontena
SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki maut setelah kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori kontena di Kilometer 34, Jalan Besar Ipoh-Kuala Kangsar di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dikenali sebagai Ho Kang Wei, 21, yang cedera parah disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar ke Sungai Siput.
Menurutnya, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan berat itu.
"Kereta dipandu mangsa hilang kawalan ketika melalui laluan selekoh. Mangsa yang parah maut di tempat kejadian manakala pemandu lori kontena tidak cedera.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!