Warga emas tikam kepala buaya elak dibaham
BRISBANE - Seorang warga emas berusia 60 tahun berjaya menyelamatkan diri daripada dibaham seekor buaya yang mempunyai saiz besar apabila dia menikam kepala haiwan itu berulang kali dengan sebilah pisau poketnya, kata pihak berkuasa tempatan pada Rabu.
Dia bertindak menikam haiwan tersebut ketika reptilia itu mengheret lelaki berkenaan ke sebatang sungai di Semenanjung Cape York, utara Australia.
Warga emas tersebut yang turut mengalami kecederaan kemudian memandu sendiri untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan perubatan.
Kejadian itu berlaku pada minggu lalu tetapi hanya didedahkan pada Rabu.
Ia bermula ketika warga emas tersebut mahu memancing tetapi reptilia itu tiba-tiba muncul dari permukaan air dan menyerang lalu menjatuhkannya di sungai tersebut.
Buaya tersebut kemudian menarik kaki warga emas berkenaan yang memakai kasut but sebelum mengheret lelaki tersebut ke tebing sungai namun dia sempat memeluk sebatang pokok bakau tetapi terpaksa melepaskan pelukan setelah tenaganya hilang.
Bagaimanapun, lelaki berkenaan sempat mengambil sebilah pisau poket pada tali pinggangnya untuk menikam berulang kali kepala haiwan tersebut menyebabkan reptilia itu pada akhirnya melepaskannya.
Bilangan buaya air masin telah meningkat di Australia selepas ia diisytiharkan sebagai haiwan yang dilindungi sejak tahun 1971. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!