Kegiatan palsukan kekuatan keluli kapal selam terbongkar
WASHINGTON - Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) kini meningkatkan pengawasan ke atas kapal-kapal selamnya selepas terbongkarnya kegiatan penipuan dalam ujian kekuatan keluli pada Isnin lalu.
Isnin lalu, seorang bekas ahli metalurgi atau kaji logam, Elaine Thomas, 67, dari Auburn, Washington mengaku bersalah di sebuah mahkamah kerana menipu keputusan ujian mengukur kekuatan dan daya tahan keluli yang digunakan dalam pembinaan kapal-kapal selam AS.
Apa yang lebih membimbangkan ialah Thomas yang merupakan bekas pengarah metalurgi di syarikat Bradken Inc. di Washington itu mengaku telah melakukan penipuan tersebut lebih tiga dekad lalu.
Beliau ditugaskan untuk memberikan kelulusan gred pada keluli yang digunakan untuk pembuatan kapal selam AS.
Namun, Thomas bertindak meluluskan gred itu walaupun sebenarnya ia tidak layak diberikan.
Menurut Jabatan Pertahanan AS, wanita itu memalsukan lebih 240 keputusan ujian keluli yang dilakukan.
Penipuan itu didedahkan pada Mei 2017 oleh seorang pekerja makmal yang mendapati ujian kelulusan keluli tersebut telah dipinda oleh Thomas sebelum perbuatan itu diberitahu kepada pihak pengurusan Bradken. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!