Kerajaan digesa mansuh SOSMA

Mohd Ridzuan (tujuh, kiri) bersama keluarga tahanan SOSMA menuntut keadilan saksama kepada Atipsom.
Mohd Ridzuan (tujuh, kiri) bersama keluarga tahanan SOSMA menuntut keadilan saksama kepada Atipsom.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Badan bukan kerajaan (NGO) Ikhlas dan keluarga tahanan SOSMA berkumpul di luar Penjara Sungai Buloh hari ini menuntut akta itu dimansuhkan dan dipinda undang-undang yang lebih adil.

Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, kerajaan PH September lalu mengeluarkan kenyataan akta tersebut akan dikaji semula.

Susulan itu menurutnya, 400 tahanan SOSMA telah dibebaskan selepas pertuduhan kesalahan jenayah terancang Seksyen 130 Kanun Keseksaan dipinda kepada Seksyen 43 Akta Pertubuhan ke atas geng 08, 36 dan 24.

"Ada keluarga tahanan SOSMA bagi kesalahan penyeludupan migran Bahagian III Akta Atipsom yang tidak berpuas hati meminta perbicaraan bagi pertuduhan itu turut diadili secara adil dan saksama.

"Orang kena tahan (OKT) tersebut berhak dilepaskan dengan jaminan mahkamah atas budi bicara hakim menurut Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

Mohd Ridzuan berkata, OKT di bawah pertuduhan Atipsom tidak patut diteruskan di bawah pelaksanaan SOSMA.

"Tahanan mereka yang tidak adil telah mendatangkan pelbagai kesusahan kepada OKT dan keluarga mereka. Kebebasan OKT tersebut disekat dan dinafikan secara tidak sah di bawah undang-undang SOSMA yang disalah guna oleh kerajaan terdahulu.

"Satu surat rayuan (representasi) oleh peguambela pertuduhan Atipsom telah dikemukakan agar ia dipinda ke Akta Pasport pada Oktober lalu namun sehingga kini kerajaan belum memberikan jawapan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, beliau meminta kerajaan dan Peguam Negara mengambil serius pemansuhan serta pindaan SOSMA sebagai memberikan keadilan kepada tahanan di bawah akta itu khususnya bagi kesalahan Atipsom.

Setakat ini, seramai 60 OKT masih ditahan di bawah SOSMA dan 15 daripadanya adalah warga tempatan sementara baki terdiri warga asing.

Sementara itu, bapa kepada seorang tahanan SOSMA berkata, anak sulungnya ditahan di bawah SOSMA kira-kira setahun lalu bersama sembilan lagi tahanan namun lapan daripadanya telah dibebaskan.

"Anak saya bekerja sebagai pemandu teksi kena tahan disebabkan tuduhan pemilikan pasport palsu dan dijangka bakal dibicara pada November ini.

"Dia adalah harapan kami untuk tanggung keluarga dan selepas ditahan kami telah keluarkan duit kira-kira RM70, 000 untuk lantik peguam sehingga terpaksa gadaikan rumah. Harap kerajaan mansuh SOSMA dan pinda akta itu kepada undang-undang yang lebih adil kepada tahanan untuk perbicaraan," kata bapa berusia 65 tahun ini.

Sementara itu, seorang bekas tahanan Sosma yang berusia 49 tahun, berkata dia dan abangnya antara yang menjadi mangsa tahanan SOSMA terpaksa meringkuk dalam penjara selama dua tahun atas kesalahan yang tidak pernah dilakukan.

"Kami menjadi kambing hitam dituduh untuk kes pecah rumah tanpa ada bukti dan walaupun tidak bersalah saya terpaksa mengaku bersalah untuk dibebaskan kerana rindukan anak-anak yang dua tahun tidak ditemui.

"Saya mulanya menjadi saksi bagi kes pecah rumah melibatkan geng Columbia yang menjalankan jenayah itu melalui kereta sewa saya namun dituduh bersubahat selepas bahan bukti hilang berpunca kerja orang dalam.

"Saya adalah orang paling banyak turun naik mahkamah sebanyak 140 kali bagi menegakkan kebenaran namun akhirnya terpaksa mengaku bersalah kerana rindukan anak-anak saya. Saya kalah di dunia tapi akan menuntutnya di akhirat kelak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!