Susur masuk simpang Jalan Pintasan Bukit Setongkol ditutup
KUANTAN - Jalan susur masuk ke persimpangan Jalan Pintasan Bukit Setongkol dari Jalan Tanah Putih akan ditutup kepada semua pengguna jalan raya bermula Rabu sehingga 15 November ini.
Jabatan Kerja Raya Pahang melalui satu kenyataan menjelaskan, penutupan laluan itu dibuat susulan kerja-kerja penanaman cerucuk, longkang, pelebaran jalan, pembetung kotak pratuang 600 milimeter kerja tanah (rawatan tanah) dan pembaikan tanah lembut serta pelancaran PTT-Beam.
"Kerja-kerja itu dilakukan bagi projek pembinaan sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Kuantan bagi menghubungkan bandar Kuantan ke bandar Putra, Tanjung Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Justeru, pengguna jalan raya dari Jalan Tanah Putih boleh menggunakan laluan alternatif bagi kenderaan ringan melalui jalan masuk ke Medan Warisan untuk ke Jalan Bukit Setongkol; Cenderawasih hingga Jalan Seri Teruntum 1, Lorong Seri Teruntum 17, Lorong Seri Teruntum 18, Misha Nursery dan rumah persendirian, Jalan Seri Teruntum satu, Lorong Seri Teruntum 21 dan Lorong Seri Teruntum 32.
"Semua pengguna jalan raya diingatkan supaya mematuhi papan tanda arah yang disediakan serta pandu dengan cermat.
"Kerjasama sepenuhnya daripada semua pengguna jalan raya amat diharapkan dan kami memohon maaf di atas segala kesulitan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!