18 individu dikompaun sertai upacara rawatan tradisional

Polis Kelantan mengeluarkan 18 kompaun kepada individu yang didakwa terlibat dengan satu upacara rawatan tradisional di Bachok.
Polis Kelantan mengeluarkan 18 kompaun kepada individu yang didakwa terlibat dengan satu upacara rawatan tradisional di Bachok.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengeluarkan 18 kompaun kepada individu yang didakwa terlibat dengan satu upacara rawatan tradisional di Bachok, pada Selasa.

Mereka yang dikenakan kompaun itu terdiri daripada 14 lelaki dan empat perempuan yang berumur dalam lingkungan 23 hingga 63 tahun.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima makluman pada jam 12.30 pagi mengenai aktiviti berkenaan yang didakwa melibatkan perkumpulan beramai-ramai.

Menurutnya, berdasarkan laporan berkenaan, pihaknya ke kampung tersebut dan mendapati memang benar aktiviti berkenaan yang dipercayai 'main puteri' sedang berlangsung di lokasi tersebut.

"Kami telah buat pemeriksaan dan juga telah menasihatkan supaya mereka berhenti dan bersurai, namun tidak diendahkan. Maka kami terpaksa mengeluarkan kompaun kepada 18 individu yang terlibat sebagai pengajaran.

"Penduduk kampung yang lain sebaliknya bertindak melarikan diri dan anggaran kompaun secara keseluruhannya adalah sebanyak RM60,000", katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, katanya, kesemua 18 individu berkenaan dikompaun di bawah Peraturan 8, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDBP) (LLDDKTJ) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 kerana melakukan aktiviti terlarang.

Beliau berkata, masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak menjalankan aktiviti seperti itu walaupun pergerakan rentas negeri sudah dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Kita masih lagi menghadapi kes Covid-19 yang tidak konsisten, ini adalah satu pengajaran kepada semua penduduk supaya masih menjaga keselamatan. Kami yakin agensi lain pun membuat pemantauan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!