Persidangan DUN Johor bermula 18 November
JOHOR BAHRU - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dijadualkan bermula 18 November ini dengan pembentangan Bajet Johor 2022, kata Speaker Dewan Undangan Negeri, Suhaizan Kaiat.
Beliau sehubungan itu menasihatkan kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menumpukan perhatian kepada persidangan hingga 25 November itu meskipun Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN Melaka) berlangsung dalam masa sama.
“Kita telah menghantar notis pada 27 Oktober lepas memaklumkan semua ADUN bahawa persidangan dewan akan diadakan pada tempoh yang telah dinyatakan bagi membolehkan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad membentangkan bajet negeri untuk tahun hadapan.
“Persidangan DUN lebih utama daripada kempen di Melaka,” katanya yang dihubungi pada Rabu.
Suhaizan yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan Parti Amanah Negara (Amanah) dan Naib Pengerusi Amanah Johor turut mengingatkan ADUN yang membantu kempen PRN Melaka supaya menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan memandangkan negara masih menghadapi pandemik Covid-19.
Beliau berkata, SOP yang sama ditetapkan untuk persidangan kali ini termasuk mewajibkan ujian Covid-19 setiap hari untuk semua wakil rakyat, ketua jabatan, petugas dewan dan pengamal media.
Pada persidangan lepas, sesi itu tertangguh dua kali berikutan penilaian risiko Covid-19 dan seramai empat ADUN turut tidak dibenarkan menyertai persidangan selepas penilaian risiko Covid-19 ke atas mereka.
Sementara itu, mengenai bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang diserang stok ringan pada 13 Oktober lepas, Suhaizan berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang surat sama ada ADUN Kempas itu akan hadir atau tidak ke persidangan tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!