Pemilik bengkel buntu lebih 40 motosikal pelanggan hangus terbakar
KOTA BHARU - Seorang pemilik bengkel motosikal buntu apabila lebih 40 motosikal pelbagai jenis milik pelanggannya yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000 hangus dalam kebakaran di Jalan Sultanah Zainab di sini pada malam Selasa.
Wee Jit Hwa, 38, berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata sehingga mengakibatkan bengkel motosikal yang telah diusahakan bapanya sejak lebih 30 tahun lepas, terbakar 100 peratus.
Katanya, ketika kejadian berlaku beliau tiada di situ kerana keluar membeli makanan.
“Ketika hendak membeli nasi, saya menerima panggilan daripada jiran dan rakan terdekat memaklumkan kedai milik saya terbakar. Tanpa berlengah lagi saya terus bergegas pulang.
“Setibanya di tempat kejadian, saya cuba memasuki kawasan berkenaan untuk melihat keadaan bengkel namun tidak dapat menghampirinya kerana api sedang marak selain anggota bomba juga sedang memadamkan kebakaran,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Pakistan di sini pada Rabu.
Bercerita lanjut, Jit Hwa berkata, beliau tidak tahu bagaimana ingin memberitahu pelanggannya mengenai kejadian itu dan resah memikirkan kerugian yang dialami.
“Membaiki motosikal ini satu-satunya pendapatan saya untuk menyara keluarga. Sebelum ini saya mampu meraih sekitar RM200 hingga RM300 sehari membaiki motosikal pelanggan,” kata bapa kepada seorang anak yang berusia satu setengah tahun itu.
Sementara itu, Imam Besar Negeri Kelantan, Muhammad Hana Pizi Abdullah mewakili Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyampaikan bantuan kecemasan bernilai keseluruhan RM14,000 kepada tujuh keluarga yang terlibat bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Setakat ini, pada peringkat awal pihak kami mengesan seramai tujuh keluarga yang terlibat. Sekiranya, ada lagi keluarga yang terlibat, kita akan menyalurkan sumbangan kepada mereka,” katanya.
Kebakaran yang berlaku kira-kira 7.22 malam itu mengakibatkan 10 rumah kediaman dan empat rumah kedai musnah sekelip mata, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!