UK sasar tingkat kerjasama dengan Malaysia dalam teknologi hijau
KUALA LUMPUR - United Kingdom (UK) mensasar untuk tingkatkan kerjasama dengan Malaysia, termasuk dalam bidang yang berkaitan dengan teknologi hijau.
Setiausaha Luar UK, Liz Truss yang berada di Malaysia awal minggu ini berkata, dengan isu berkaitan alam sekitar menjadi semakin penting kini dan pada masa depan, kedua-dua pihak harus melihat lebih jauh untuk memanfaatkan potensi besar dalam sektor hijau.
Sebagai sebahagian daripada komitmennya ke arah masa depan hijau, UK awal bulan ini mengumumkan ikrar £110 juta (kira-kira RM619 juta) sokongan kewangan kepada Bank Pembangunan Asia (ADB) untuk membiayai projek infrastruktur rendah karbon dan berdaya tahan terhadap iklim untuk Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
UK ketika ini menjadi tuan rumah Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 (COP26) di Glasgow dan persidangan itu akan berakhir pada Jumaat ini.
"Saya berpendapat ada bidang penting untuk kita bekerjasama, mengenai alam sekitar, dan kami juga berminat dengan potensi pelaburan dalam teknologi bersih dan tenaga hijau," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di luar acara lawatan kerja dua hari ke sini.
Selepas Malaysia, Truss ke Thailand dan Indonesia sebagai sebahagian daripada lawatan kerja sulungnya selama seminggu ke rantau ini untuk mengukuhkan hubungan ekonomi UK dan meningkatkan kerjasama keselamatan dengan negara-negara utama di rantau ini.
"Kami telah lama menjalin hubungan kerjasama dengan Malaysia dan mahu membawanya ke tahap kerjasama baharu. Kami mahu kerjasama yang lebih rapat dengan Malaysia," katanya menjelaskan lebih lanjut mengenai hubungan dua hala UK-Malaysia.
Mengenai ekonomi dan perdagangan, Setiausaha Luar Negeri itu berkata, beliau mahu lihat pelaburan timbal balik antara kedua-dua negara.
"Dalam bidang teknologi, kita bercakap tentang teknologi generasi akan datang, bagaimana kita dapat membantu untuk membentuk standard dan berkongsi teknologi serta kepakaran antara kedua-dua negara," katanya.
Semasa lawatannya ke sini, Truss mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Truss juga menekankan keperluan untuk mengukuhkan kerjasama dalam keselamatan dengan Malaysia khususnya mengenai keselamatan siber.
Dalam lawatan itu, tiga perjanjian ditandatangani antara Malaysia dan UK iaitu Dialog Strategik antara Malaysia dan UK, Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama Penjagaan Kesihatan dan Pertukaran Nota antara IDFR Malaysia (Institut Hubungan Diplomatik dan Luar Negeri) dan Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan, UK.
Menurut Pejabat Perangkaan Nasional UK, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan UK bernilai £4.7 bilion (kira-kira RM26.47 bilion) dalam empat suku hingga akhir Suku Pertama 2021.
Di peringkat global, UK adalah rakan dagangan ke-19 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-18 dan sumber import ke-19 negara. Pada tahun 2019, jumlah dagangan Malaysia dengan UK meningkat sebanyak 5.3 peratus kepada RM16.45 bilion berbanding tahun 2018.
Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah dagangan dengan UK merosot sebanyak 2.6 peratus kepada RM11.9 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2019 berikutan cabaran kesan pandemik Covid-19.
Daripada segi pelaburan, UK adalah pelabur asing kesembilan terbesar di Malaysia dengan sejumlah 467 projek pembuatan dilaksanakan dengan penyertaan UK bernilai RM10.16 bilion, mewujudkan 39,338 pekerjaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!