Duyong Marina & Resort teliti status tular
KUALA TERENGGANU - Syarikat Perhotelan milik kerajaan negeri, Duyong Marina & Resort meneliti status yang ditularkan seorang individu yang mendakwa tidak berpuas hati terhadap layanan kakitangan serta kualiti perkhidmatan sepanjang lima hari menginap di hotel berkenaan.
Pengurus Besarnya, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, pihak hotel telah menghubungi pelanggan berkenaan untuk bertanya lanjut mengenai perkara itu namun gagal mendapatkan maklum balas.
Katanya, kakitangan hotel juga tidak menerima sebarang aduan sepanjang lima hari pelanggan itu menginap di situ bermula 14 hingga 18 Oktober lalu.
"Berdasarkan rekod hanya seorang pelanggan yang menempah bilik 'Executive deluxe' bagi tempoh lima hari empat malam di hotel ini dengan bayaran RM380 semalaman.
"Kita ada maklumat lengkap pelanggan. Kita telah menghubungi nombor berkenaan tetapi individu yang menjawab panggilan memaklumkan beliau dari Kelantan dan bukan Kedah," katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.
Sehubungan itu, Wan Mohd Faizul berkata, pihak pengurusan hotel berharap dapat menghubungi individu berkenaan yang beralamat dari Bukit Raja, Kedah untuk mendapatkan maklumat lanjut.
"Kita kini dalam proses siasatan bagi meneliti dakwaan yang ditularkan dan laporan akan disiapkan dalam tempoh sehari dua lagi.
"Sekiranya dakwaan itu benar, pihak hotel bersedia memulangkan kembali bayaran yang dikenakan kepada individu terbabit," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, Duyong Marina & Resort mempunyai 97 bilik dan 10 dikategorikan sebagai Out Of Order (OOO) dan hanya 87 bilik dijual kepada pelanggan.
"Kita sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memastikan fasiliti bilik dalam keadaan baik. Ada juga antara bilik yang telah lama beroperasi dan perlu penambahbaikan tetapi kita kecualikan serta tidak diberi kepada pelanggan," katanya.
Pada Selasa tular di media sosial Facebook Hotel Review Malaysia, seorang pemilik akaun memuat naik status pengalaman menginap di sebuah bilik di hotel berkenaan.
Berdasarkan perkongsian itu, individu terbabit menyatakan rasa tidak puas hati kerana bayaran yang dikenakan tidak setimpal dengan kualiti perkhidmatan dan fasiliti yang disediakan di hotel berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!